fbpx
Seorang penduduk Orang Asli menunjukkan barangan rumahnya yang bersepah di atas tanah selepas dinding rumah buluh dicabut serta dirosakkan kawanan gajah liar di Kampung Mendrod, Pos Brooke, Gua Musang semalam.

Gajah mengamuk lagi, lima rumah ranap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Sekumpulan gajah liar yang merosakkan enam buah rumah milik penduduk Orang Asli di Kampung Mendrod, Pos Brooke di sini minggu lalu kembali mengganas apabila menceroboh lima lagi rumah di perkampungan sama semalam.

Dalam kejadian pukul 5 pagi itu, kawanan gajah terbabit dikesan telah mencabut, mengopak dinding rumah buluh dan merosakkan pelbagai barangan milik penduduk.

Seorang penduduk, Rama Ajom, 45, berkata, rumahnya antara yang menjadi mangsa terbaharu gajah liar.

Katanya, penduduk percaya gajah itu adalah gajah sama yang mengelilingi kampung dalam keadaan kelaparan untuk mencari makanan minggu lalu.

“Saya yakin itu gajah sama yang meruntuhkan dinding rumah buluh yang dibina di kawasan kebun.

“Ketika kejadian kami tiada di rumah kerana bimbang akan keselamatan nyawa ahli keluarga. Firasat kami benar apabila gajah itu muncul semula dan memusnahkan selain menyelongkar barangan yang diletak dalam rumah,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Sarudin Johari, 31, berkata, penduduk menyedari kejadian itu kira-kira pukul 7 pagi semalam ketika mereka mahu ke kebun.

“Kemunculan gajah liar yang bertindak merosakkan rumah buluh dan hasil tanaman telah menimbulkan rasa tidak tenteram dalam kalangan penduduk.

“Saya berharap pihak berwajib terutamanya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) datang membantu menyelesaikan masalah yang dialami sebelum nyawa penduduk terkorban,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, lebih 400 penduduk Orang Asli hidup dalam ketakutan apabila sekumpulan gajah liar mengamuk dan merosakkan rumah buluh di kawasan kebun di Kampung Mendrod, Pos Brooke di sini sejak Ahad lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN