fbpx
VIRUS hMPV boleh menyebabkan batuk dan selesema. – Gambar hiasan

K2

Virus hMPV berbahaya kepada golongan berisiko

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERBICARA tentang Human metapneumovirus (hMPV), ia adalah salah satu virus yang boleh menyebabkan jangkitan pada saluran pernafasan.

Walaupun kurang dikenali berbanding influenza dan RSV (Respiratory Syncytial Virus), hMPV boleh mengakibatkan gejala yang serius, terutamanya kepada kanak-kanak, warga emas dan individu dengan sistem imun lemah.

Virus ini tidak disedari kerana gejalanya menyerupai selesema biasa, namun komplikasi yang mungkin timbul menjadikannya penting untuk dikenali.

Virus hMPV pertama kali ditemui pada tahun 2001, ia tergolong dalam keluarga Paramyxoviridae bersama virus pernafasan lain seperti RSV dan campak.

Virus ini merebak melalui titisan pernafasan (droplets) yang dihasilkan apabila seseorang bersin atau batuk.

Ia juga boleh merebak melalui sentuhan langsung dengan permukaan tercemar seperti pemegang pintu atau alat mainan terutamanya di kawasan sesak.

Selain itu, hMPV sering menyebabkan jangkitan ringan dengan gejala seperti batuk, selesema, demam ringan dan sakit tekak.

Kebanyakan kanak-kanak berusia lima tahun akan dijangkiti sekurang-kurangnya sekali, namun jangkitan biasanya ringan dan pulih dengan sendirinya.

Ini menyebabkan kurangnya perhatian terhadap virus berkenaan ketika pemeriksaan dan penyiasatan klinikal.

Namun, bagi mereka yang berisiko tinggi, komplikasi serius seperti radang paru-paru (pneumonia) dan bronkiolitis boleh berlaku.

Golongan yang lebih berisiko termasuk kanak-kanak bawah lima tahun dan warga emas berusia 65 tahun ke atas.

Selain itu, pesakit dengan penyakit kronik seperti asma, diabetes, sakit jantung serta individu memiliki sistem imun lemah seperti pesakit kanser juga berisiko tinggi.

Adakah hMPV berbahaya? Di Malaysia, jangkitan hMPV biasanya bersifat ringan dan tidak memerlukan kebimbangan berlebihan.

Namun, peningkatan jangkitan pernafasan secara mendadak sering berlaku di negara beriklim sejuk seperti China dan England terutamanya pada akhir serta awal tahun.

Perkembangan semasa di China mungkin dipengaruhi oleh faktor cuaca dan persekitaran, namun kemungkinan kewujudan strain atau varian baharu tidak boleh diabaikan.

Tiada vaksin khusus untuk hMPV pada masa ini. Oleh itu, pencegahan melalui amalan kebersihan yang baik adalah langkah terbaik.

HMPV merupakan salah satu virus yang boleh menyebabkan jangkitan pada saluran pernafasan. – Gambar hiasan

Oleh kerana kaedah penyebarannya serupa dengan Covid-19 dan influenza, langkah pencegahan yang disyorkan juga sama.

Misalnya, kerap mencuci tangan dengan sabun atau pembasmi kuman, menutup mulut dan hidung dengan tisu atau lengan ketika bersin dan batuk, serta mengelak menyentuh muka dengan tangan kotor.

Mengelakkan hubungan rapat dengan individu bergejala juga penting terutamanya bagi golongan berisiko tinggi.

Jika seseorang dalam rumah mengalami demam atau batuk, anda dinasihati untuk mengasingkan diri bagi mencegah penularan.

Membersihkan permukaan yang sering disentuh seperti tombol pintu dan telefon bimbit menggunakan cecair pembasmi kuman turut membantu.

Bagi pengusaha taska, pembersihan secara kerap perlu dilakukan pada persekitaran dan peralatan yang kerap dikongsi seperti mainan, alat tulis dan meja belajar.

Ibu bapa disarankan mendidik anak-anak mengenai amalan kebersihan yang betul sejak kecil.

Sementara itu, rawatan untuk jangkitan hMPV biasanya bersifat simptomatik. Misalnya, rehat mencukupi, pengambilan cecair dan ubat demam.

Namun, jika gejala bertambah teruk seperti sesak nafas atau sakit dada, rawatan perubatan segera perlu diperoleh kerana ia mungkin menunjukkan komplikasi serius.

Kesimpulannya, hMPV adalah salah satu virus yang sering menyebabkan jangkitan pernafasan.

Langkah pencegahan seperti amalan kebersihan diri yang baik merupakan kunci utama untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Dengan kesedaran dan amalan pencegahan berterusan, kita dapat membantu mengurangkan penularan virus berkenaan dalam komuniti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN