Sejak tahun lepas, kes orang hilang banyak dilaporkan media. Ada yang ditemui semula, terus hilang dan lebih menakutkan apabila sebahagiannya berakhir dengan kematian akibat dibunuh.
Untuk yang hilang dan kembali, pelbagai alasan yang kita dengar ada yang pergi ke rumah kawan bermain game, keluar cari kerja atau ikut rakan baru dikenali di media sosial.
Keluar rumah satu hal, tidak maklumkan kepada keluarga itu juga menjadi persoalan paling kerap dilontarkan kerana ia bukan sahaja merisaukan orang lain, malah melecehkan kerja polis untuk mencari mereka.
Orang tengah sibuk dan risau, dia bagus bersenang lenang di mana-mana. Macam tiada apa yang berlaku. Walau apa pun konflik, jangan buat orang cemas boleh tak?
Individu hilang tak jumpa-jumpa sampai sekarang pun ada. Kasihan pada keluarga yang tertunggu-tunggu tanpa khabar berita.
Baru-baru ini, seorang remaja, Yap Xin Yuan, 15, yang hilang selepas selepas menghadiri latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang di Batu 11, Cheras ditemui mati dengan mayatnya mereput di Kampung Rancangan Tanah Baharu Sungai Changgang, Banting, Selangor.
Sebelum itu, Nur Farah Kartini Abdullah, 25, juga ditemui dibunuh selepas dilaporkan hilang sebaik menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan di Taman Universiti, Tanjung Malim, Perak kira-kira pukul 8 pagi pada 10 Julai lalu.
Satu lagi kes melibatkan guru Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang dilaporkan hilang pada 27 Disember 2023 selepas keluar bekerja sebelum keretanya ditemui di sekitar Lotus Kota Masai pada hari sama.
Empat hari kemudian, mayatnya ditemui dibuang di dalam tong sampah dalam keadaan tanpa kepala dan tangan di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Melaka.
Portal Polis Diraja Malaysia sebelum ini pula mendedahkan terdapat 276 individu termasuk kanak-kanak dan remaja berusia belasan tahun dilaporkan hilang di seluruh negara sejak 2010.
Situasi itu semakin menyeramkan kita selaku orang mempunyai keluarga dan anak remaja yang terdedah dengan pelbagai dorongan untuk mengikut orang baru dikenali melalui media sosial.
Keadaan ini membuatkan kita terfikir bahawa laporan orang hilang ketika ini tidak boleh dipandang ringan lagi.
Penglibatan masyarakat untuk sama-sama membantu polis mengembalikan orang hilang ke pangkuan keluarganya amat diperlukan bagi mengelakkan sebarang kejadian duka.
Kadang-kadang, membawa anak ke kawasan tumpuan pun boleh jadi hal apabila si kecil terlepas daripada genggaman ketika bersesak-sesak.
Penulis sendiri pernah ‘hilang’ ketika dibawa ke pasar malam oleh abang saudara. Kejadian sekitar 90-an itu berlaku ketika penulis berkunjung ke rumah bapa saudara di kawasan Gombak, Selangor.
Sebenarnya penulis tidak hilang tetapi mengambil keputusan untuk pulang bersendirian dengan berjalan kaki.
Abang saudara yang panik kemudian bergegas pulang untuk memaklumkan kejadian itu sebelum lega tidak terkira sebaik mendapati penulis berada di rumah. Selepas itu, dia tidak lagi membawa penulis ke mana-mana.
Itulah ‘hukuman’ akibat tidak mendengar kata.














