PASIR PUTEH – Kurang ‘trip’ kutipan sisa pepejal di tong sampah roro yang disediakan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) menyebabkan berlakunya longgokan sampah di Jalan Pasir Puteh-Tok Bali, di sini.
Jadual kutipan sebanyak tiga kali seminggu oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dilihat tidak mencukupi apabila sampah melimpah ke atas jalan.
Tinjauan Kosmo! Ahad mendapati sebahagian sampah di atas jalan telah dibersihkan, namun masih terdapat timbunan sisa buangan di belakangnya. Sebahagian sampah pula dibakar secara terbuka meskipun terdapat kamera televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi berkenaan.
Penduduk, Ismail Mohammed, 40, berkata, dua tong sampah bersaiz besar sudah mencukupi untuk menampung lambakan sisa namun perlu dilakukan secara lebih kerap.
Menurutnya, limpahan sampah ke atas jalan berlaku berkemungkinan disebabkan kelewatan memunggah sebelum diselongkar haiwan liar dan pengutip barangan lusuh.
“Sekiranya MDPP tidak dapat memperbaharui jadual kutipan sampah, maka mereka perlu menambah bilangan tong. Longgokan sampah kerap berlaku terutamanya musim cuti sekolah, perayaan dan hujung minggu,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Ramli Abdullah, 49, berkata, keadaan sampah yang melimpah memberi persepsi buruk kepada pengguna yang dilihat tidak cakna terhadap isu kebersihan dan kelemahan PBT.
“Saya harap PBT dapat selesaikan masalah ini dengan segera kerana isu tular di media sosial.
“Sakit mata kami lihat longgokan sampah di luar tong. Jika diangkut empat atau lima kali seminggu, mungkin masalah ini tidak akan berlaku,” katanya.
Sementara itu, usaha Kosmo! Ahad untuk mendapatkan maklum balas daripada MDPP tidak berhasil.














