TAPAH – Setiap kali musim durian, seorang peniaga di Chenderong Balai, Teluk Intan dekat sini tersenyum lebar apabila mampu meraih rezeki lebih menerusi penjualan hasil buah tiga pokok duriannya yang berusia lebih 50 tahun.
Ketiga-tiga pokok durian itu menghasilkan kira-kira 20 biji buah setiap hari.
Nazrin Awang, 55, yang juga bapa kepada empat anak berkata, dia telah berniaga pelbagai hasil tanaman termasuk raja buah berhampiran Penjara Tapah di sini sejak 2007 lagi.
“Biarpun jumlah yang gugur 20 biji sehari tetapi tidak semua dapat dijual kerana ada yang dimakan tupai atau kera selain ada yang dicuri orang.
“Namun, saya bersyukur kerana menjelang pukul 3 petang biasanya, durian telah habis terjual dan kebanyakan pelanggan adalah dari sekitar kawasan ini,” katanya kepada Kosmo!.
Nazrin berkata, kereta Proton Iswara menjadi medium pengangkutannya untuk mengangkut segala hasil pertanian dijualnya.
Katanya, usia pokok yang telah melebihi setengah abad mungkin daya tarikan pelanggan kerana isinya agak tebal, kekuningan dan manis.
“Memang saya tidak letak baja dan racun biar tumbuh dengan semula jadi atau orang sekarang kata organik agar pelanggan dapat rasa keasliannya.
“Ramai kata durian ini setaraf durian premium tetapi lain orang lain pendapatnya kerana saya hanya menjual yang baik dan bukan yang telah rosak seperti ditebuk tupai dan haiwan lain,” katanya.
Tambah beliau, setiap kali musim buah durian tiba, pendapatannya maksimum kira-kira RM150 sehari dengan jualan RM7 sekilogram .
“Sebagai tambahan, saya turut menjual buah cempedak hasil tanaman sendiri selain mengusahakan kelapa sawit secara kecil-kecilan bagi menyara keluarga.
“Selain itu, saya juga mengambil upah meracun sawah, mengait buah kelapa sawit dan membersihkan kebun dan ladang orang kampung,” katanya.















