PETALING JAYA – Kisah cinta penuh pengorbanan dan keikhlasan ditunjukkan oleh Jawaher Shaikh Mohamad, 30, apabila dia memilih untuk mengahwini lelaki yang tidak mampu berjalan akibat masalah saraf.
Meskipun berdepan dengan cabaran, Jawaher tetap setia dan percaya dengan cintanya terhadap Mohd. Zainizan Bin Esa, 34, yang kini bergantung kepada kerusi roda.
“Saya sudah mengenalinya sejak tahun 2010 dan kami baru berkahwin pada 25 Disember lalu.
“Suami ada masalah saraf tersepit yang menyebabkan kakinya lemah dan tidak mampu untuk berjalan.
“Semuanya bermula selepas dia terlibat dengan kemalangan pada 2010. Walaupun dia pulih sementara, keadaannya semakin merosot selepas terjatuh pada tahun 2017 dan 2019,” katanya.
Ketika keadaan menjadi semakin mencabar, Zainizan pernah meminta Jawaher meninggalkannya kerana tidak mahu menjadi beban, namun kesetiaan Jawaher tidak pernah goyah.
“Dia pernah minta saya tinggalkannya dan mencari lelaki lain, tetapi saya tidak boleh sebab sudah sayang padanya. Saya juga tidak boleh hidup tanpanya. Saya cakap kepadanya, kita menjalani kehidupan sekadar yang termampu,” katanya.
Jawaher kini menjadi penyumbang utama ekonomi keluarga sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang.
Meskipun keluarganya pada awalnya risau dengan keputusannya untuk berkahwin, mereka akhirnya lega kerana keluarga suaminya turut sama-sama membantu menjaga Zainizan.
“Pada mulanya keluarga saya risau, tetapi mereka lega bila keluarga suami turut sama menjaga dia dan tidak serahkan semua tanggungjawab kepada saya. Sebelum berkahwin saya ada juga perasaan bimbang, tetapi kuatkan semangat untuk menghadapi kehidupan selepas berumah tangga,” ujarnya.
Keputusan Jawaher untuk berkahwin dengan Zainizan turut menerima pelbagai reaksi daripada rakan-rakan. Namun, dia memilih untuk tidak mengendahkan pandangan negatif.
“Walaupun rakan-rakan ada memberi reaksi negatif, saya buat tidak tahu sebab ini adalah hidup saya,” katanya.
Kisah pasangan itu membuktikan kekuatan hubungan terletak pada keikhlasan dan saling menerima, walaupun dalam keadaan serba kekurangan.














