JAKARTA – Seorang pengantin perempuan di Indonesia mengundang perhatian orang ramai kerana sanggup menangguhkan majlis perkahwinan agar penyanyi kegemarannya, Mahalini Ayu Raharja dapat hadir membuat persembahan.
Portal berita Tribunnews melaporkan, majlis itu akhirnya berlangsung di wilayah Lampung pada 13 Disember lalu.
Rakaman dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @mayantira menunjukkan pengantin itu berucap di hadapan Mahalini di atas pentas.
“Saya sanggup tangguh majlis ini sebanyak tiga kali untuk mematuhi jadual anda. Saya suka sangat dengan anda,” kata wanita itu dalam satu rakaman video.
Dia bukan sekadar mengidolakan Mahalini, malah ikut sedih apabila penyanyi kegemarannya jatuh sakit.
“Saya juga akan sedih jika terdapat maklumat anda sedang sakit,” tambahnya.
Rakaman itu mencatatkan lebih 1.4 juta tontonan. – AGENSI