Dalam era digital sekarang, apa sahaja kandungan yang dimuat naik dalam media sosial berpotensi menjadi tular.
Bahkan, kandungan yang adakalanya dilihat tidak membawa manfaat atau tidak begitu penting turut menjadi tular dek kerana kuasa dan juga pengaruh internet yang hebat dalam penyebaran maklumat.
Pensyarah dan juga penasihat Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan Riadah Universiti Taylor’s, Affezah Ali berkata, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kandungan yang hakikatnya dianggap hanya biasa-biasa, namun mampu menjadi tular.
“Tular secara asasnya merujuk kepada kandungan atau maklumat yang sampai kepada pengetahuan ramai orang menerusi platform online.
“Biarpun terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada penularan, namun salah satu elemen utama yang menjadikan sesuatu kandungan itu menjadi viral adalah pengaruh terhadap mentaliti kumpulan atau herd mentality,” katanya kepada Kosmo!.
Affezah memberitahu, dari sudut psikologi, mentaliti kumpulan tersebut disifatkan sebagai kecenderungan individu untuk menyesuaikan diri dengan tingkah laku dan pendapat majoriti dalam kumpulan.
Dalam konteks online, ia boleh memberi pengaruh kuat kepada tingkah laku pengguna, seterusnya menentukan kandungan online yang mencapai status tular.
“Manusia merupakan makhluk sosial yang sentiasa mencari pengesahan dan penerimaan orang lain.
“Sebagai contoh, apabila mereka lihat orang ramai menyokong sesuatu kandungan, mereka berkemungkinan besar akan melakukan perkara yang sama terutamanya apabila kandungan yang ditonton itu dekat dengan nilai-nilai peribadi diri mereka.
“Social validation seterusnya akan bertindak sebagai pemangkin untuk orang yang menonton itu untuk menyebarkan kandungan yang dilihat dalam kalangan pengguna lain,” katanya.
Hakikatnya, kita tidak boleh mengawal jenis kandungan yang dimuat naik oleh pengguna internet, namun masyarakat boleh mengawal bentuk kandungan yang tular dan mendapat jumlah tontonan yang tinggi.
Perkara yang tidak bermanfaat kepada masyarakat tidak perlulah dikongsi secara meluas.
Langkah itu bagi mengelak daripada menjadi tontonan umum memandangkan setiap kandungan yang ditonton ramai orang boleh memberi pengaruh kepada mental dan juga psikologi seseorang.
















