PASIR PUTEH – Seorang bapa tunggal bersama empat anak di Pantai Bisikan Bayu, di sini berisiko hilang tempat berteduh apabila rumah mereka terhakis teruk akibat hakisan susulan kejadian air pasang besar kelmarin.
Muhammad Luqman Mohd. Noor, 30, yang bekerja kampung berkata, akibat kejadian pada pukul 9.30 malam itu bahagian dapur rumahnya roboh.
“Keadaan itu kerap berlaku terutama semasa air laut pasang besar pada musim tengkujuh. Kami terpaksa bertahan di sini kerana tidak mempunyai rumah lain untuk berpindah.
“Rumah sepupu yang terletak di pesisir pantai ini sudah roboh beberapa hari lalu. Sebelum itu, rumah seorang penjual air balang di kawasan ini juga hampir roboh akibat ombak besar,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, jika keadaan itu berterusan, berkemungkinan besar rumahnya akan roboh.
Tinjauan Kosmo! mendapati, hakisan itu turut menyebabkan pokok ru dan kelapa tumbang, manakala sebahagiannya hanyut ke tengah laut.
Semalam Ahli Dewan Undangan Negeri Semerak, Norsham Sulaiman bersama Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh meninjau fenomena itu dan turut memberi komitmen untuk tindakan lanjut.














