fbpx
Dashcam kini menjadi satu keperluan utama kepada setiap pengguna kenderaan.

Dashcam penting, jadi ‘saksi’ kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Malaysia merekodkan purata 17 kematian setiap hari akibat kemalangan jalan raya pada tahun lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pada tempoh itu, kira-kira 600,000 kes kemalangan jalan raya direkodkan di seluruh negara dengan jumlah kematian 6,443 orang yang mana 4,295 daripadanya melibatkan penunggang motosikal.

Menurutnya, daripada senario kemalangan yang dilaporkan, seramai 3,068 cedera parah, manakala 30,799 cedera ringan. Namun, tidak semua kemalangan berjaya mengenal pasti pelaku atau penyebab kepada insiden itu berlaku.

Keadaan itu menyebabkan ramai ahli keluarga serta kenalan mangsa terpaksa merayu kepada mana-mana saksi untuk tampil menyalurkan maklumat dengan berkongsi rakaman kamera papan pemuka kenderaan (dashcam) atau kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

Ada juga sanggup menawarkan sejumlah wang tunai sebagai ganjaran kepada pihak yang mempunyai bukti rakaman dashcam kejadian itu.

Terdahulu, Anthony Loke sendiri mengakui pemasangan dashcam berupaya merakam dan menjadi bahan bukti bagi kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya.

Namun, pihaknya hanya menggalakkan pemasangan peranti tersebut di setiap kenderaan, tetapi perkara itu tidak diwajibkan.

Jelasnya, dashcam kini menjadi satu keperluan kepada setiap pengguna kenderaan kerana ia boleh dijadikan sebagai saksi atau bukti jika berlaku sesuatu perkara tidak diingini terutamanya kemalangan jalan raya.

Melihat kepada situasi kemalangan yang berlaku hari ini, sikap pengguna jalan raya itu sendiri menjadi antara punca kepada berlakunya insiden ngeri tersebut apabila sering dilihat memandu sambil menggunakan telefon pintar, berada dalam keadaan mengantuk serta di bawah pengaruh alkohol.

Lebih menyakitkan, apabila pelaku atau pemandu terlibat dengan berani melarikan diri selepas melanggar mangsa dan sebab itulah dashcam perlu menjadi antara peranti wajib dipasang pada kenderaan agar dapat merakam bukti kemalangan sekali gus membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap pesalah jalan raya.

Selain menjadi ‘saksi’ membela nasib mangsa kemalangan, dashcam juga penting bagi merekod sebarang jenis kejadian salah laku pengguna jalan raya atau kes-kes jenayah lain seperti merempit, ragut dan aksi pemanduan secara berbahaya.

Justeru, sudah tiba masanya untuk pihak kerajaan mempertimbangkan untuk mewajibkan pemasangan dashcam pada semua jenis kenderaan, bukan sahaja sebagai langkah keselamatan di atas jalan raya, malah sebagai ‘saksi’ sekiranya berlaku sebarang bentuk jenayah lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN