fbpx
Gambar hiasan

Sujud syukur di dalam bilik doktor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Baru-baru ini ketika melepak bersama seorang rakan, saya menangis mendengar ceritanya. Menangis bukan sebab sedih tetapi kegembiraan dalam memuji indahnya ujian Allah SWT kepada hamba-Nya.

Kawan yang sudah lama tidak bertemu itu rupanya baru lepas diuji apabila hidupnya gelisah sejak lima bulan lalu kerana isterinya disyaki mempunyai sel kanser payudara.

Segalanya bermula apabila isterinya membuat pemeriksaan rutin di sebuah klinik kesihatan di Selangor dan mengadu mempunyai ketulan di payudaranya.

Kakitangan klinik kemudian menasihatinya melakukan pemeriksaan mamogram di hospital kerajaan untuk mengesahkan kandungan yang disyaki itu.

Selepas difikir masak-masak ditambah pula risau adakah benar ia kanser, pasangan itu kemudian melakukan pemeriksaan dan mereka bertambah risau apabila keputusan mengatakan terdapat banyak ketulan meragukan.

Langkah seterusnya ialah mereka perlu mengambil sampel melalui proses biopsi yang akan mengesahkan sama ada ia sel kanser atau sebaliknya pada hujung November lalu.

“Lama betul isteri aku kena ambil sampel padahal sebelum itu doktor kata sekejap sahaja. Aku yang duduk di luar semakin risau sehingga makan pun tidak,” katanya.

Kata rakan lagi, dia dan isterinya semakin berdebar apabila tibanya tarikh 5 Disember lalu apabila sekali lagi perlu ke hospital untuk mengetahui mengenai keputusan biopsi.

Mereka tunggu dengan penuh sabar sehingga nombor dipanggil dan apabila melangkah masuk ke dalam bilik doktor bertugas, mereka dipersilakan duduk sebelum petugas membaca report.

“Okay puan ini ada berita baik. Ketulan yang ada tu bukan sel kanser tetapi hanya cyst. Puan tidak perlu membuangnya dan kita akan buat ujian ini lagi sekali tahun depan,” kata doktor.

Mendengarkan laporan itu, kawan saya terus melakukan sujud syukur di dalam bilik doktor tersebut untuk menyatakan pujian kepada Allah SWT.

Katanya, indah sungguh ujian yang disediakan untuknya sekeluarga kerana dalam kegelisahan, Dia hadirkan ketenangan untuk hapuskan duka.

“Bukan apa, dalam sejarah keluarga isteri, memang ada yang sudah kena kanser itu dan berakhir dengan kematian,” katanya sambil menyeka air mata.

Saya pun turut menangis mendengar ceritanya yang penuh ibrah itu. Pemeriksaan awal yang dilakukan boleh menjadikan kita membuat pencegahan awal.

Ya, kanser payudara merupakan pembunuh nombor satu wanita di negara ini. Ia dapat dicegah sekiranya wanita melakukan pemeriksaan awal.

Tetapi dalam kebanyakan kes, pembunuh senyap itu hanya diketahui selepas ia sudah berada pada tahap 3 atau 4 di mana ia sudah agak lambat untuk dicegah.

Kebanyakan wanita juga acuh tak acuh untuk membuat pemeriksaan awal.

Statistik pada Oktober menunjukkan nisbah wanita yang menghidap kanser ialah seorang dalam setiap 23 individu.

Pada masa sekarang, ramai wanita berusia bawah 40 tahun menghidap penyakit tersebut dan angka itu kian meningkat tanpa diketahui sebabnya.

Oleh itu, wanita digalakkan membuat pemeriksaan awal supaya penyakit itu boleh dikawal dan diubati. Jangan sampai sudah terhantuk baru hendak tengadah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN