PETALING JAYA – Bekas model dan usahawan Zahnita Wilson mendedahkan diminta melakukan ujian saringan air kencing oleh pihak berkuasa bagi membuat permohonan mendapatkan khidmat polis pengiring untuk menjemput dua anaknya di rumah suami semalam.
Menurut Zahnita atau Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, berkata, dia bersetuju untuk melakukan prosedur tersebut walaupun tidak mengetahui motif sebenar dan hasil saringan adalah negatif daripada sebarang penggunaan bahan terlarang.
“Saya ada perintah mahkamah dan boleh dapatkan pengiring (polis) namun proses dan permintaan tersebut tidak berjalan lancar.
“Saya diminta melakukan ujian air kencing. Jika mereka nak, tidak mengapa dan saya buat. Tiada apa yang hendak saya sorokkan dan keputusannya negatif,” katanya dalam satu temu bual.
Terdahulu, Zahnita, membuat pendedahan dalam media sosial berhubung keganasan rumah tangga yang sedang dihadapinya.
Menerusi perkongsian foto dalam media sosial, pelakon itu memaparkan bukti bahagian mata kirinya dalam keadaan lebam selepas mendakwa berlaku pergaduhan bersama Abdul Zackery selepas isu orang ketiga dibangkitan.
Zahnita seterusnya memfailkan permohonan cerai terhadap Abdul Zackery di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan, Pahang pada 3 Disember lalu.
Dia juga mendapat hak penjagaan sementara interim dari Mahkamah Tinggi Syariah, Kuantan pada 6 Disember lalu.
Manakala pada 9 Disember lalu, dia juga berjaya mendapat perintah perlindungan interim (IPO) dari Mahkamah Majistret Kuantan bagi melindungi diri dan anak-anak daripada Abdul Zackery.
Difahamkan, dia juga kini dalam proses untuk mendapatkan hak penjagaan penuh empat anaknya. – KOSMO! ONLINE