MUAR – Perbuatan jahat seorang wanita berstatus janda dan rakan lelakinya merompak lima warga asing di Muar dan Tangkak pada Ogos lalu berbalas selepas dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Nariman Badruddin membuat keputusan itu selepas tertuduh, Jamiyana Ab Aziz, 38, mengaku bersalah atas enam pertuduhan yang dibacakan secara bersama rakan, Abd Aziz Alhaffiz Ali, 36.
Bagaimanapun, Abd Aziz mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan sama.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, ibu tunggal itu didakwa bersama Abd. Aziz melakukan rompakan berkumpulan ke atas tiga warga asing di hadapan pasar raya di Tanjung Agas, Tangkak hingga Kampung Sabak Aur, di sini.
Mereka didakwa merompak wang tunai berjumlah RM620, jam tangan dan telefon bimbit dalam sebuah kereta pada pukul 2.30 hingga 5 petang, 17 Ogos lalu.
Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, mereka berdua merompak barang kemas berupa cincin, subang dan rantai leher miliki dua warga asing dalam kereta di Parit Zin Bakri, Batu 6, di sini, antara pukul 5 dan 6 pagi, 5 Ogos lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dan sebatan atau denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ariff Marzuki, manakala Jamiyana tidak diwakili peguam. Abd. Aziz pula diwakili peguam Syafiee Naim daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Selepas mendengar hujahan dan rayuan tertuduh, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, manakala lima tahun untuk pertuduhan keempat, kelima dan keenam.
Kesemua hukuman penjara itu diarahkan berjalan serentak bermula tarikh tangkapan pada 19 Ogos lalu. Perbicaraan ke atas Abd. Aziz ditetapkan pada 27 Januari ini.
Selepas menjatuhkan hukuman itu, Nariman meminta tertuduh insaf dan bermuhasabah diri sepanjang berada di dalam penjara.
Berdasarkan fakta kes, mereka yang menaiki kereta dengan sasaran mangsa adalah warga asing di pasar raya.
Tertuduh wanita akan mendekati warga asing dengan menawarkan khidmat menghantar pulang dan mengenakan bayaran tertentu.
Apabila mangsa bersetuju, mereka akan membawa mangsa ke satu lokasi sebelum mengacu pistol mainan ke arah warga asing terbabit. Mereka kemudian mengambil barangan berharga sebelum melarikan diri.
Siasatan awal polis mendapati tindakan kedua-dua tertuduh merompak warga asing kerana mahu membeli dadah. – KOSMO! ONLINE