KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan untuk mengawal kenaikan premium insurans supaya tidak menimbulkan masalah kepada pesakit dan peningkatan inflasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, KKM dan BNM akan mengeluarkan panduan tegas supaya takaful perubatan serta kesihatan (MHIT) dan syarikat insurans (ITO) mengambil kira beberapa hal.
“Kenaikan ini adalah bersandarkan kepada penanda aras yang lebih rendah di Malaysia dan kos perubatan dan perkhidmatan yang tinggi, itu penjelasan pihak insurans.
“Walau bagaimanapun, pihak KKM dan BNM sedang menyelaraskan supaya kenaikan itu boleh dianggap munasabah dan tidak membebankan,” katanya dalam sesi Pertanyaan pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar menjawab pertanyaan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang meminta Perdana Menteri menyatakan langkah kerajaan mengatasi masalah kenaikan premium insurans perubatan antara 40 peratus hingga 70 peratus dan inflasi kos perubatan negara sebanyak 12.6 peratus tahun 2023, lebih dua kali ganda berbanding purata global 5.6 peratus.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, bagi menangani isu monopoli dalam perolehan ubatan, kerajaan akan membatalkan komitmen dengan beberapa syarikat.
“Kita minta KKM menjelajah ke beberapa negara supaya mendapat ubat generik yang lebih murah dan berpatutan.
“Ubat generik ini lebih terkenal di Brazil, India dan China umpamanya yang dikaji dan tidak semestinya terikat dari Amerika atau Eropah yang kosnya terlalu tinggi,” jelasnya.
Selain itu, katanya, kerajaan juga sedang mengkaji untuk mewujudkan garis panduan iaitu Diagnosis-related group (DRG) sebagai kawalan untuk menstandardkan kos.
“Kita rujuk kepada pakar dan dia tentukan tetapi apakah munasabah kos untuk Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) atau CT Scan yang ditentukan, jadi ini harus dikawal.
“Keduanya, seperti mana yang berlaku di barat seumpanya, kalau dia buat stent, apa jaminan supaya pesakit itu dalam tempoh dua atau tiga tahun tetap kekal, kalau dia pulang ke hospital dengan permasalahan itu, apakah harus dikenakan syarat hospital itu perlu membayar sebahagian atau setengah atau sepenuhnya kos,” jelasnya.
Tambahnya, KKM kini sedang melaksanakan program di mana kementerian dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta pesakit boleh memilih beberapa kemudahan tambahan dengan kos yang minimum.
“Berbalik kepada soalan pokok tentang premium insurans ini yang meningkat, kita faham ada sedikit peningkatan dengan kemunasabahan alasan yang diberikan tetapi harus dikawal,” katanya. – KOSMO! ONLINE