SEREMBAN – Seorang bekas penceramah bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pindaan iaitu menyamar sebagai peguam berkelayakan dengan menipu mangsa di Kompleks Mahkamah Seremban, dua tahun lalu
Muhammad Syafiq Stewart Abdullah, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Amran Jantan selepas pada prosiding sebutan semula kes.
Ia selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan ketiga yang telah dibacakan pada prosiding sebelum ini.
Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh didakwa telah menyatakan bahawa dirinya adalah seorang peguam bela dan peguam cara yang berkelayakan dengan menipu seorang lelaki. Kesalahan itu dilakukan pada pukul 10 pagi, 2 Jun 2022 di Kompleks Mahkamah Seremban.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 416 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 419 kanun yang sama.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan tertuduh dilanjutkan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 16 April depan.-KOSMO! ONLINE