KUALA LUMPUR – Cadangan peluasan liputan mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pekerja bukan warganegara adalah sejajar dengan usaha KWSP dalam memastikan semua pekerja di Malaysia tanpa mengira kewarganegaraan untuk turut mempunyai simpanan persaraan.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, caruman itu antara lain bagi menangani risiko ketidakcukupan simpanan persaraan pada usia tua serta akses kepada perlindungan sosial.
Beliau berkata, inisiatif itu juga bertujuan untuk meningkatkan keadilan dalam pasaran buruh dengan memastikan perlindungan sosial untuk semua pekerja adalah selaras dengan piawaian antarabangsa.
“Perkara itu selaras dengan ketetapan Artikel 68, Konvensyen 102 International Labour Organisation (ILO) iaitu hak sama rata perlindungan sosial kepada individu bukan warganegara.
“Selain itu, langkah ini juga dilihat dapat meningkatkan daya saing perniagaan tempatan di peringkat global melalui dorongan peralihan perniagaan ke arah automasi sekaligus dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga bukan warganegara,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertantaan Senator Tan Sri Low Kian Chuan yang meminta Menteri Kewangan menyatakan justifikasi Kementerian untuk mewajibkan pekerja warga asing menyumbang kepada KWSP.
Selain itu, Kian Chuan turut ingin tahu mengapakah dewan perniagaan dan persatuan industri tidak dirujuk berkenaan pelaksanaan tersebut.
Mengulas lanjut Hui Ying memaklumkan sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh kini sedang dilaksanakan demi memastikan dasar yang dibuat adalah holistikdengan mengambil kira semua pandangan dan input daripada pihak yang terlibat.
“Pada masa yang sama, pelaksanaan ini adalah tertakluk kepada pindaan Akta KWSP 1991,” katanya. – KOSMO! ONLINE