GEORGE TOWN – Tiga keluarga di sebuah plot tanah di Permatang Damar Laut, di sini berada dalam tertekan kerana mendakwa bakal kehilangan tanah dan rumah yang diwarisi sejak beberapa generasi.
Ini kerana kawasan plot tanah mereka terlibat dalam pengambilan tanah bagi projek pembinaan lebuhraya. Difahamkan, sebanyak 30 rumah terlibat dengan lebih 100 penduduk, termasuk warga emas dan kanak-kanak.
Namun, satu plot tanah yang dihuni 12 orang termasuk empat warga emas tidak layak menerima pampasan kerana tidak mempunyai geran tanah.
Salah seorang penghuni di sebuah rumah di plot tanah tersebut, Pang Siew, 66, mendakwa, mendiang bapanya, Hung Yoon Siew telah menetap di kawasan itu sejak tahun 1974 apabila kerajaan memindahkan penduduk dari Sungai Tiram, Kampung Jawa, dan Kampung Sungai Nipah untuk memberi laluan kepada pembinaan lapangan terbang.
Katanya, bapanya dan penduduk lain yang kebanyakannya bekerja sebagai pekebun kelapa ketika itu hanya ditempatkan di tanah tersebut tanpa dokumen rasmi.
“Kami bukan penceroboh di kawasan ini, kami generasi keempat yang mewarisi rumah dan tanah ini daripada bapa kami.
“Tapi apabila ada berita mengenai pengambilan tanah awal tahun ini baru kami sedar kami tidak mempunyai geran tanah ini,” katanya.
Menurutnya, mereka telah membuat permohonan geran pada Mei lalu dan berharap kerajan negeri dapat membantu mempercepat proses mendapatkan geran kerana mereka diminta keluar dari tanah itu pada 15 Februari 2025. -KOSMO! ONLINE