GEORGE TOWN – Isteri yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga bukan sahaja dibenarkan syarak untuk meninggalkan hubungan toksik, malah undang-undang membolehkan mereka mendapatkan perlindungan kecemasan bagi menghalang didekati suami baran.
Peguam Syarie dan Sivil, Muhammad Hariz Md. Yusoff berkata, ketaatan isteri sepatutnya dibalas dengan perlindungan atau jagaan baik suami dan bukannya diseksa dan didera sehingga berbekas dalam hatinya.
Katanya, syarak membenarkan isteri meninggalkan hubungan toksik sekiranya berlaku keganasan dalam rumah tangga.
“Jangan tunggu lama untuk buat laporan kerana banyak agensi perlindungan dan sokongan yang sedia membantu.
“Peguam, doktor, pakar psikiatri dan polis contohnya boleh membantu mangsa-mangsa itu. Boleh juga ke Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk perlindungan kecemasan sepantas dua jam selain menghubungi talian Nur Kasih 15999,” katanya kepada Kosmo!.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kes bekas peragawati, Zahnita Wilson, 39, yang mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Susulan itu, suaminya telah didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan, Pahang kelmarin atas pertuduhan mencederakan pelakon itu.
Menurut Muhammad Hariz, melaporkan kes keganasan rumah tangga merupakan jalan terbaik untuk isteri menyelamatkan diri daripada terus menjadi karung tinju suami.
“Ketaatan ada batasnya, lari selamatkan diri dahulu. Jangan dimanipulasi dengan kenyataan taat suami dalam apa jua keadaan termasuk deraan kerana syarak tidak membenarkan ketaatan sedemikian,” katanya.
Tambahnya, kes isteri dipukul suami banyak berlaku di negara ini dan disebabkan itu ada peruntukan dalam undang-undang syariah untuk mereka memfailkan fasakh, cerai, taklik dan sebagainya.
“Mahkamah boleh memfaraqkan pernikahan jika suami enggan lafaz cerai,” katanya.
Ujar Muhammad Hariz, si suami yang didapati bersalah wajib dipenjara dan tiada pilihan denda jika kes didakwa mengikut Seksyen 323 dan 326 Kanun Keseksaan.
“Selamatkan diri daripada terus menjadi mangsa keganasan rumah tangga itulah yang paling utama daripada sayang suami ditahan polis atau dipenjara atau kekal merana kerana perlakukan toksik akan berulang,” tambahnya.
Dalam pada itu, Muhammad Hariz menjelaskan, peruntukan undang-undang tidak mengkhususkan hanya wanita tetapi lelaki turut diberikan ruang perlindungan yang sama jika menjadi mangsa.
“Ada kes suami menjadi mangsa hubungan toksik mendapatkan perlindungan undang-undang sewajarnya.
“Ada kes suami telah menfailkan nusyuz kerana isterinya keluar dengan lelaki lain termasuk ada yang pergi bercuti ke Thailand bersama kekasih gelap dan meninggalkan suami serta anak-anak di rumah,” katanya.
Menurut Muhammad Hariz, tindakan si isteri tersebut ternyata telah mendera mental si suaminya sehingga memaksa lelaki itu menfailkan nusyuz. -KOSMO! ONLINE














