fbpx
BERDASARKAN ramalan, banjir gelombang ketiga dijangka bermula esok hingga 14 Disember ini. - GAMBAR HIASAN

Nyawa No. 1, harta No. 2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERDASARKAN amaran yang dikeluarkan MetMalaysia, negeri-negeri di Pantai Timur dan Utara Semenanjung dijangka menerima hujan berterusan peringkat waspada mulai esok hingga 11 Disember ini yang berisiko berlakunya banjir gelombang ketiga.

Kerana itu, para petugas Agensi Pengurusan Bencana Negara masih belum boleh menarik nafas lega walaupun banjir membabitkan sembilan negeri baru-baru ini sudah menunjukkan petanda reda.

Hujan berterusan peringkat kuning seperti yang diramal MetMalaysia masih memerlukan semua agensi yang terlibat bagi menghadapi Monsun Timur Laut kali ini sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Berdasarkan ramalan, banjir gelombang ketiga dijangka bermula esok hingga 14 Disember ini. Bagi penduduk yang terlibat banjir pula, bencana ini bukan sahaja menyebabkan mereka kerugian akibat kemusnahan harta benda, hasil ternakan dan pertanian, malah turut meletakkan nyawa mereka dalam bahaya.

Ironinya, episod bah baru-baru ini telah meragut sembilan nyawa. Angka yang agak mengejutkan, tapi itulah yang berlaku. Rasanya kes-kes kematian itu dapat kita elakkan jika semua pihak lebih peka terhadap langkah-langkah keselamatan setiap kali berlaku musibah banjir.

Disebabkan itu, penting sekali untuk penduduk khususnya yang tinggal di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.

Patuhilah arahan pihak berkuasa. Jika disuruh berpindah, maka pindahlah, jangan degil kerana harta boleh dicari, tetapi nyawa tiada galang ganti.

Sentiasalah pantau ramalan cuaca serta amaran dikeluarkan pihak berkuasa supaya kita sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk ke tempat yang selamat jika berlaku banjir yang tak terduga.

Paling utama air bah bukanlah untuk kita bermain-main kerana bahaya di tempat bencana tersebut sering tidak terduga.

Kalau boleh, elakkan meredah kawasan banjir, kerana jika sebelum ini sesuatu kawasan itu mungkin sebatang jalan, tetapi ketika banjir jalan tersebut mungkin sudah menjadi lubang berbahaya akibat dihanyutkan arus bah.

Bagi yang memandu, jika laluan sudah dinaiki air, tak perlulah memberanikan diri meredah banjir tersebut kerana arus yang deras serta kedalaman air yang tidak terduga mungkin menghanyutkan kenderaan sekali gus merisikokan nyawa anda dan keluarga.

Jauhkan juga diri daripada sebarang punca elektrik jika rumah atau kawasan-kawasan tertentu sudah ditenggelami air kerana dibimbangi terkena renjatan elektrik.

Jadi kita berharap, jika banjir gelombang ketiga benar-benar berlaku, tiada lagi kejadian-kejadian yang meragut nyawa terjadi.

Ambillah iktibar daripada insiden yang sudah berlaku baru-baru ini supaya sebarang kejadian yang merisikokan nyawa dapat dielakkan sama sekali.

Biarlah hanya harta yang rosak dek kerana bencana banjir, tetapi jangan biarkan nyawa anda serta keluarga melayang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN