TUMPAT – Kes yang melibatkan dakwaan seorang doktor dipukul penolong pegawai perubatan lelaki di Hospital Gerik, Perak pada Jun lalu ketika ini disiasat secara menyeluruh.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kes tersebut sudah diserahkan kepada Pasukan Petugas Khas Bebas yang diketuai oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dollah.
Menurutnya, siasatan secara menyeluruh berhubung kes itu sedang dijalankan buat masa ini.
“Isu tersebut tidak menjejaskan imej perkhidmatan kesihatan negara kerana ia dianggap kes terpencil.
“Bagaimanapun, ia tidak boleh dipandang ringan. Kementerian Kesihatan (KKM) masih menunggu hasil siasatan sebelum tindakan selanjutnya dilakukan,” ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat, Pengkalan Kubor di sini hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial seorang doktor mendakwa dia dipukul oleh seorang penolong pegawai perubatan di Hospital Gerik.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku semasa doktor tersebut sedang merawat seorang pesakit wanita yang cedera akibat diserang sebelum aurat pesakit itu dikatakan terdedah. – KOSMO! ONLINE