KOTA BHARU – Kekerapan banjir yang berlaku di Kelantan mampu menyebabkan sistem saliran menjadi kurang efektif untuk menampung taburan hujan yang ekstrem dan impak negatif boleh berlaku sekiranya penyelenggaraan berkala tidak dilakukan.
Pensyarah Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr. Mohamad Faiz Mohd. Amin berkata, infrastruktur saliran akan lebih cepat rosak akibat tekanan hidraulik yang berlebihan sehingga mengakibatkan kos penyelenggaraan dan pembaikan meningkat.
“Kekerapan banjir yang berlaku di Kelantan juga menjadikan mendapan sedimen dan sisa dalam sungai atau longkang menurunkan kapasiti aliran air. Keadaan itu sekali gus menyebabkan kawasan tersebut lebih mudah terdedah kepada banjir kilat pada masa depan.
“Kerosakan berterusan kepada saliran akan memberi kesan kepada perancangan bandar dan pertumbuhan ekonomi kawasan yang terjejas,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Mohamad Faiz memberitahu, sistem saliran di Kelantan ketika ini juga tidak mampu untuk menampung taburan hujan yang luar biasa kerana ia direka berdasarkan purata taburan hujan lama selain tidak mengambil kira taburan hujan ekstrem yang semakin meningkat akibat perubahan iklim.
“Secara amnya, sistem saliran bandar direka untuk menampung hujan lebat sehingga 60 milimeter (mm) dalam tempoh dua hingga empat jam.
“Bagaimanapun, data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan bahawa hujan melebihi 60 mm dalam tempoh singkat sudah boleh menyebabkan banjir kilat.
“Keadaan itu menunjukkan bahawa kapasiti sistem saliran semasa mungkin tidak mencukupi untuk menampung taburan hujan yang lebih tinggi,” ujarnya.
Menurut Mohamad Faiz, 10 daripada 12 kawasan sukatan hujan di Kelantan mendapat taburan hujan pada keamatan yang lebat iaitu 30 hingga 60mm ke tahap sangat lebat yang melebihi 60mm semasa gelombang pertama banjir pada 27 November lalu.
Menurutnya, Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah mencatatkan taburan hujan 209.5mm pada hari tersebut.
“Gelombang pertama banjir menyebabkan kapasiti saliran di banyak kawasan mencapai tahap maksimum dengan sungai utama seperti Sungai Kelantan dan Sungai Golok melebihi paras bahaya.
“Jika hujan lebat berterusan dengan intensiti yang luar biasa berlaku semasa gelombang kedua, sistem saliran yang sudah tertekan tidak akan mampu menampung aliran air tambahan, ujarnya.
Beliau berkata, keadaan akan bertambah buruk jika langkah pencegahan seperti pembersihan saliran, pembukaan kolam takungan sementara, dan pengurusan pintu air tidak dilakukan dengan segera.














