fbpx

Pelan penstrukturan LTAT tidak dibatalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) memaklumkan bahawa pelan penstrukturan semula yang dirujuk di Parlimen semalam tidak dibatalkan.

Sebaliknya kata LTAT, ia telah diperhalusi untuk menangani cabaran semasa dan peluang yang muncul selaras dengan situasi pasaran terkini.

“Pelan penstrukturan baharu itu mencerminkan kepekaan dan daya tindak LTAT dan Kementerian Pertahanan dalam menangani isu kestabilan kewangan.

“Selain itu, ia turut mengurus liabiliti, mempelbagaikan pelaburan dan membina portfolio yang kompetitif serta mampan demi kepentingan semua pihak pemegang taruh,”katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, LTAT berkata, inisiatif pelupusan aset adalah suatu langkah strategik dan bukannya penyelesaian jangka pendek.

“Pendekatan ini bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan berlebihan terhadap pelaburan dalam Boustead-Affin dan ianya selaras dengan cadangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menggesa LTAT untuk mempelbagaikan portfolio.

“Tatakelola dan proses pelupusan aset yang telus di setiap entiti Kumpulan LTAT adalah untuk memastikan penjanaan nilai optimum dapat dihasilkan.

“Ia turut dilaburkan semula ke dalam aset berdaya tinggi dan mampan untuk meningkatkan daya tahan kewangan LTAT serta menjamin kebajikan pencarum LTAT dalam jangka panjang. Transaksi akan dilaksanakan dengan ketelusan dan integriti yang tinggi,”katanya.

Pada masa sama, LTAT menjelaskan bahawa badan itu serta syarikat kumpulannya tidak memiliki sebarang tanah di Batu Kawan dan kenyataan mengenai pelupusan tanah ini adalah tidak benar dan mengelirukan.

Mengenai transaksi Eco World Development Group Bhd (EcoWorld), LTAT berkata Boustead Properties (BProp) telah menjemput 19 syarikat, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan firma swasta, untuk menyertai proses Notis Pelawaan Cadangan (RFP).

“Daripada 10 syarikat yang menyatakan minat, hanya satu syarikat iaitu EcoWorld, syarikat milik majoriti Bumiputera telah mengemukakan cadangan setelah melalui proses tender yang ketat dan telus,”ujarnya.

LTAT menambah, pelupusan tanah di Semenyih kepada MBSB bertujuan untuk memacu pertumbuhan kawasan pinggir bandar yang sedang berkembang, meningkatkan nilai, serta menyokong objektif Ekonomi Madani.

“Hasil tunai daripada transaksi ini akan memainkan peranan penting dalam membiayai program penanaman semula kelapa sawit oleh Boustead Plantation Berhad (BPlant), memastikan pemulihan tanah yang telah matang dan meningkatkan kecekapan operasi,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI