PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali lega dan berpuas hati melihat komitmen anak-anak buahnya ketika meraih kemenangan 2-1 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang kelmarin.
Di sebalik kesukaran yang dihadapi kerana beraksi atas padang lembut, Badrul mengakui agak sukar buat pemain untuk melunaskan segala perancangan seperti diatur sebelum perlawanan.
“Pertama sekali syukur dan saya perlu berikan kredit kepada pemain kerana mereka agak bergelut. Kejayaan tiga mata kali ini begitu bermakna buat pasukan.
“Kalau kita tengok kepada padang, memang agak susah untuk kita bermain mengikut pelan yang sudah diatur.
“Pemain pun berdepan kesukaran apabila bermain atas padang seperti ini tetapi kejayaan tiga mata adalah sesuatu yang bagus buat pasukan,” katanya.
Pada perlawanan itu, sepakan lencong menarik daripada Alif Zakaria meletakkan Terengganu di depan sebelum Safawi Rasid menambah gol kedua, manakala jaringan tunggal KDN dihasilkan oleh Oday Kharoub menerusi sepakan penalti di penghujung permainan.
Keputusan itu terus mengekalkan TFC di kelompok empat terbaik Liga Super dan kini mengumpul 24 mata selepas mengharungi 15 perlawanan.
Secara tidak langsung, kemenangan itu juga dianggap sebagai proses pembelajaran buat TFC untuk menjadi lebih matang khususnya apabila berdepan Negeri Sembilan di peringkat suku akhir Piala Malaysia pada 14 Disember ini.