fbpx

Lagi gudang ‘cuti’ diserbu, rampas arak tiruan RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Suffian menunjukkan arak tiruan yang diproses dalam kontena di Permatang Batu, hari ini.

SEBERANG PERAI – Tidak sampai enam jam sebuah gudang ‘cuti’ di Permatang Batu di sini digempur, sebuah lagi premis dan kontena di lokasi sama turut diserbu sekali gus membongkar kegiatan pemprosesan arak tiruan bernilai lebih RM1,000,000, semalam.

Operasi tersebut dijalankan sepasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, kira-kira pukul 5.30 petang.

Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Mohd. Suffian Mohd Abbas berkata, hasil serbuan tersebut telah menemukan pelbagai kelengkapan yang digunakan bagi proses pembuatan dan pembungkusan arak tiruan berkenaan.

Menurutnya, barangan yang ditemui adalah 16,513 botol arak pelbagai jenama, 900 liter cecair alkohol yang telah diproses, 26,815 botol kaca kosong, mesin dan aluminium semi automatik yang digunakan sebagai penutup botol serta satu tong IBC.

“Kalau kita lihat dari segi kompaun, kawasan ini memang sangat besar dan disyaki terdapat lebih daripada satu sindiket yang beroperasi di sini.

“Kita percaya aktiviti ini dilakukan oleh entiti berbeza walaupun berkongsi modus operandi yang sama iaitu di bahagian pintu masuk utama gudang memaparkan tanda ‘cuti’ untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kita sedang mengesan pemilik premis serta barangan ini dan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM1,018,196,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pihaknya percaya minuman keras pelbagai label itu dijual untuk pasaran tempatan seperti pasar raya malah tidak menolak kemungkinan ia turut dijual secara dalam talian pada harga sama seperti produk asli demi mengaut keuntungan.

“Siasatan lanjut mendapati sindiket ini menggunakan pelbagai taktik termasuklah pemalsuan ciri keselamatan label kastam. Tiada tangkapan dibuat semasa serbuan dijalankan,” tambahnya kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dibawah kesalahan Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI