fbpx
MANGSA banjir di Pantai Timur diselamatkan anggota Bomba dan Penyelamat.

Berpindahlah, jangan tunggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kelmarin Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kejadian banjir gelombang pertama melanda sembilan negeri sebagai luar biasa apabila jumlah mangsa melonjak lebih 100,000 dalam tempoh kurang 24 jam.

Seramai 37,000 mangsa direkodkan pada Khamis sebelum jumlahnya meningkat kepada 137,000 pada tengah hari Jumaat.

Jumlah taburan hujan terutama di Kelantan dan Terengganu dalam tempoh seminggu adalah tiga kali ganda daripada yang turun untuk tempoh setahun.

Ahmad Zahid turut memaklumkan, situasi banjir pada kali ini dijangka lebih buruk berbanding bencana alam yang berlaku 10 tahun lalu.

Pada 2014, lebih 200,000 kediaman termasuk surau, balai raya terjejas banjir dengan 21 kematian direkodkan.

Sehingga pukul 10 pagi semalam, lebih 150,000 mangsa banjir daripada lebih 45,000 keluarga berlindung di 698 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan negeri.

Episod Monsun Timur Laut (MTL) ini masih panjang. Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip memberitahu, berdasarkan ramalan, MTL kali ini akan membawa lima hingga tujuh episod hujan lebat.

Taburan hujan yang tinggi memerlukan tindakan sewajarnya daripada orang ramai tentang keselamatan diri agar tidak menjadi ‘korban bah’.

Bencana alam banjir bukan sesuatu yang perlu kita ambil mudah, bukan pesta main air. Keadaan air yang tenang juga mampu meragut nyawa, bahaya didalamnya yang tidak siapa pun tahu.

Bah luar biasa kali ini turut diakui banyak mangsa. Lokasi mereka yang bebas bencana sebelum ini turut tenggelam dibawa air. Rumah yang tersergam indah ‘ranap’ dibawa arus deras.

Sehingga Sabtu lalu, empat korban banjir direkodkan dengan tiga di Kelantan termasuk seorang bayi berusia 13 bulan manakala seorang di Terengganu.
Usahlah ditambah rekod ini.

Berpindahlah jika diarahkan, jika air naik tinggi luar dari kebiasaan, jangan kerana perasaan ‘selamat’ yang kita pegang akhirnya memakan diri. Risau pasukan penyelamat sukar lakukan misi lebih-lebih diwaktu lewat malam.

Harta memang penting tetapi nyawa kita lagi berharga, usah dicuba meranduk air yang tenang. Jaga dan pegang erat anak-anak, mereka paling teruja namun merekalah juga tidak mengerti apa-apa.

Biar kita nangis halang mereka, jangan air mata tumpah kehilangan keluarga.

Satu lagi perlu dipahat dalam hati, saat mangsa bah meratapi apa yang berlaku, janganlah kita dengan mudah meluncur kata-kata tidak enak sehingga sanggup mengaitkan dengan bala.

Jika tiada doa janganlah ada sekelumit benci, melemparkan kata-kata menguris hati mangsa banjir. Mereka sedang diuji, kerugian bukan sedikit, kehilangan terlalu besar.

Teruskan tabah mangsa bah. Terima kasih pasukan keselamatan, terima kasih insan yang baik-baik.

Terima kasih warga maya, sama-sama membantu insan-insan terputus hubungan bersama keluarga yang menjadi mangsa bah. Wira di sebalik bencana. Teruskan bersatu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN