fbpx
Wan NORFAZILAH (dua dari kanan) bersama rakan penyelidik yang turut membangunkan LabQuest.

Inovasi bantu pemahaman pengurusan makmal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PEMAHAMAN pelajar terhadap konsep pengurusan kualiti makmal berdepan beberapa kesukaran terutama apabila ia diterapkan melalui kaedah kuliah dan pembelajaran teori.

Hal ini menyebabkan ramai pelajar melakukan pelbagai kesilapan dan gagal memahami konsep pengurusan kualiti makmal dengan lebih mendalam.

Sehubungan itu, pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), ChM. Dr. Wan Norfazilah Wan Ismail, 36, tampil dengan inovasi permainan papan yang dinamakan LabQuest bagi mengatasi kesukaran tersebut.

Katanya, LabQuest direka khusus bagi meningkatkan pemahaman pelajar terhadap pengurusan kualiti makmal berasaskan standard ISO 9001:2015 dan ISO/IEC 17025:2017.

“Penyelidikan ini menilai keberkesanan penggunaan permainan papan sebagai medium pembelajaran berbanding kaedah pengajaran tradisional.

“Menggabungkan teori Game-Based Learning serta elemen Gamification, permainan ini memberikan pengalaman pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan.

“Penyelidikan ini dijalankan untuk mencari kaedah alternatif yang lebih berkesan dan menarik melalui pendekatan pembelajaran berasaskan permainan,” katanya ketika dihubungi Infiniti baru-baru ini.

Tambahnya , LabQuest berfungsi dengan mengadaptasi situasi pengurusan kualiti makmal sebenar.

CONTOH permainan LabQuest yang diketengahkan oleh Wan Norfazilah.

Kongsi Wan Norfazilah, pemain perlu membeli sektor makmal, merekrut ‘personel’, menyediakan latihan, membeli alat dan menjalankan penentukuran (calibration) mengikut standard ISO.

“Kad ‘reward’ dan ‘non-conformity’ disediakan untuk mensimulasikan cabaran dan ganjaran yang wujud dalam pengurusan makmal, manakala keputusan pemain dinilai berdasarkan pematuhan terhadap keperluan ISO terlibat.

“Matlamat akhir LabQuest adalah untuk menjadi alat pembelajaran yang dapat membantu pelajar dan profesional industri memahami konsep pengurusan kualiti makmal dengan lebih mendalam. Ia berupaya menyelesaikan masalah kurangnya pemahaman terhadap standard ISO dalam kalangan pelajar dan pekerja makmal melalui pendekatan pembelajaran lebih praktikal serta mudah difahami,” ujarnya.

Wan Norfazilah memulakan penyelidikan dan pembangunan LabQuest pada akhir tahun lalu, sebelum siap sepenuhnya pada Ogos lalu.

Beliau turut dibantu oleh pensyarah FSTI, Dr. Shariza Jamek dan Dr. Siti Umairah Mokhtar serta Guru Bahasa Pusat Bahasa Moden (PBM), Mohd. Shafeirul Zaman Abd Majid.

Penyelidikan tersebut dibiayai oleh Geran Pengajaran dan Pembelajaran UMPSA di bawah Pusat Inovasi dan Daya Saing Akademik (PIDA).

Namun, ia masih dalam perbincangan dengan pihak Innovation and Commercial Management Centre UMPSA bagi permohonan geran Lab2Market untuk pemasaran produk.

Kongsinya lagi, pada masa akan datang, LabQuest bakal dikembangkan dalam bentuk digital bagi menambah baik penggunaan kebolehcapaian (accessibility) dan fleksibiliti.

Variasi permainan juga boleh diwujudkan untuk sektor-sektor lain yang berkaitan seperti keselamatan makmal serta pengurusan risiko.

“Harapan kami adalah untuk melihat LabQuest dipasarkan dan digunakan secara meluas di institusi pendidikan, pusat latihan dan makmal-makmal di seluruh negara.

“Kami juga merancang bekerjasama dengan industri bagi mengadaptasi permainan ini kepada profesional.

“Ia diharap dapat menjadi alat latihan berkesan dalam meningkatkan pemahaman pematuhan ISO dalam kalangan pekerja makmal,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN