KANSER merupakan salah satu penyakit yang paling digeruni ramai.
Namun, semangat dan sikap positif individu yang berani berjuang melawan kanser wajar diraikan menerusi penganjuran pelbagai acara buat penghidapnya.
Justeru, sebagai meraikan perjuangan pesakit kanser, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) kembali menganjurkan acara tahunannya iaitu Relay for Life yang meraikan komuniti pejuang kanser dan mengenang insan tersayang yang telah pergi sebagai menyemarakkan semula perjuangan menentang kanser.
Sejak dimulakan di Malaysia pada tahun 2007, Relay for Life telah menjadi simbol kekuatan dan solidariti yang menyatukan orang ramai daripada semua lapisan masyarakat untuk menunjukkan sokongan padu kepada mereka yang terkesan oleh kanser.
Acara tersebut diadakan di tiga lokasi iaitu Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 16 dan 17 November, Kolej Universiti Manipal, Melaka pada 30 November dan 1
Disember serta berakhir di Padang Polo, Ipoh, Perak pada 7 dan 8 Disember 2024.
Ia dirasmikan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim pada 17 November lalu.
Pengarah Urusan NCSM, Prof. Madya Dr. M. Murallitharan dalam ucapannya berkata, Relay for Life merupakan program tahunan yang dinanti-nantikan, khususnya oleh para pemandiri kanser yang menjadi simbol harapan serta semangat juang mereka dalam menghadapi cabaran kanser.
“Kembalinya Relay for Life adalah bukti semangat kental komuniti kita dalam menghadapi kanser. Kami amat berbesar hati dengan kehadiran Tuanku Zara Salim yang sokongannya menguatkan mesej, harapan dan solidariti kami.

“Bersama-sama kita raikan pemandiri-pemandiri kanser, mengenang insan tersayang dan melangkah ke arah masa depan di mana kanser tidak lagi menjadi satu halangan,” katanya.
Acara dimulakan dengan penganjuran Luminaria yang merupakan malam penghormatan menyentuh hati yang mana pesakit kanser mendedikasikan beg kertas kecil bercahaya dengan mesej positif sebagai penghormatan kepada mereka yang terkesan oleh kanser.
Selain itu, hari pertama turut diserikan dengan persembahan nyanyian, sesi perkongsian berkenaan kanser dan permainan karnival.
Hari kedua yang dikenali sebagai R-Day pula dimeriahkan dengan acara larian sebagai simbolik perjuangan berterusan menentang kanser.
Sebagai terus menyuntik semangat kepada para peserta dan mempromosikan gaya hidup sihat, R-Day juga menampilkan pelbagai aktiviti menarik termasuk saringan kanser percuma di Trak Ungu syarikat insurans hayat MCIS Life, larian riang ria lima kilometer, pencarian harta karun, larian berganti-ganti dan permainan-permainan karnival.
Seorang peserta yang juga merupakan pejuang kanser payudara tahap 4 sejak 2021, Sarlinawati Abd. Mues menyifatkan acara Relay for Life sebagai satu usaha yang cukup murni dalam meraikan individu sepertinya.
“Saya melihat acara sebegini sebagai satu bentuk penghargaan yang meraikan air mata dan juga cabaran pesakit kanser ini dalam perjuangan mereka,” katanya.
Sarlinawati turut meninggalkan pesan kepada mereka yang barangkali baru disahkan menghidap kanser untuk tidak sesekali melihat penyakit itu sebagai satu pengakhiran.
“Kanser ini bukan mudah, namun ia juga bukan tiket untuk mati. Jangan takut kerana ia bukan satu pengakhiran, sebaliknya satu permulaan kepada hidup baharu.
“Kita ini adalah pilihan Allah, dan percayalah di sebalik sakit itu nanti, Allah akan tunjukkan nikmat di sebaliknya memandangkan setiap ujian itu datang bersama nikmat,” katanya.














