biarpun seorang anak orang kaya, Akram mempunyai tabiat suka mencuri dari kecil sehingga menuntut di kolej namun tidak pernah ‘kantoi’. - Gambar hiasan

‘Anak orang kaya ketagih mencuri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DIRINYA bukanlah daripada keluarga yang susah, bahkan sebagai anak tunggal, sejak kecil dia sudah dimewahkan oleh kedua-dua ibu bapanya.

Namun, di sebalik kemewahan yang dimiliki, terdapat satu tabiat buruk yang menjadi rahsia besar pemuda itu daripada pengetahuan orang di sekelilingnya.

Berkongsi kisah itu, pemuda asal Kuala Kangsar, Perak, Akram (bukan nama sebenar) mengatakan bahawa sejak di bangku sekolah dia mempunyai satu tabiat iaitu suka mencuri.

“Saya tidak ingat bagaimana segalanya bermula tetapi semasa di sekolah apabila tertarik dengan sesuatu barang, saya akan terus mengambilnya.

“Walaupun ibu bapa mampu membeli apa sahaja yang saya mahu, tetapi mengambil sesuatu yang ada di depan mata membuatkan saya merasa puas,” katanya ketika dihubungi Panorama baru-baru ini.

Tambahnya, semasa di sekolah, barang-barang yang pernah dicuri bukanlah mahal tetapi nampak menarik pada matanya.

Antaranya seperti penyangkut kunci, pensil tekan, pemadam dan bekas pensil.

Semua barangan tersebut juga bukanlah digunakan tetapi disimpan sekadar sebagai koleksi.

Sepanjang dia mencuri, Akram memberitahu dia tidak pernah tertangkap dan hal itu membuatkan dia mahu melakukannya berulang kali.

Tabiat buruk itu berlanjutan sehingga dia ke peringkat pengajian tinggi apabila Akram mula mencuri barang lebih berharga.

“Semasa di kolej, semua orang tahu saya anak orang kaya, mungkin sebab itu mereka tidak pernah syak saya sebagai pencuri.

“Pernah terjadi beberapa insiden kehilangan barang dan semua suspek yang dituduh adalah orang lain,” ujarnya.

Katanya, dia pernah mencuri telefon bimbit milik rakannya kerana dia tertarik dengan telefon tersebut.

Kejadian berlaku semasa bulan puasa iaitu selepas bersahur dan semua orang kembali tidur.

Ketika itu, Akram secara senyap masuk ke dalam bilik dan mengambil telefon milik rakannya yang sedang dicas di atas meja.

Berita kehilangan telefon tersebut menjadi gempar dan ramai menuding jari menuduh antara satu sama lain.

“Ada yang menuduh saya, tetapi saya menafikan dan menuduh seorang pelajar baharu (junior) yang sebelum ini pernah tertangkap kerana mencuri.

“Pelajar itu disoal siasat senior dengan teruk hingga dibelasah dan saya tanpa rasa bersalah berasa lega kerana dapat melepaskan diri daripada disyaki,” katanya lagi.

Jelasnya sejak kejadian itu, dia cuba menahan daripada mencuri hingga tamat pengajian. Tiada siapa yang tahu bahawa Akram adalah ‘tertuduh’ yang sebenar.

Kongsinya lagi, setelah melangkah ke alam dewasa, tabiat buruk tersebut juga berhenti sendirinya dan dia juga mula mendekatkan diri dengan agama.

Hingga suatu hari apabila dia mendengar ceramah tentang persediaan mengerjakan umrah, Akram teringat akan kesalahannya mencuri dan menganiaya orang lain. Dia mahu memohon maaf sebelum ke tanah suci.

“Saya mula mencari semua orang yang saya pernah curi barang mereka dan meminta maaf termasuk pelajar junior yang pernah dituduh atas perbuatan saya.

“Rata-rata mereka terkejut dengan pengakuan saya dan ada antara mereka memaafkan sebilangannya meminta ganti rugi,” kongsinya.

Selepas daripada itu, Akram berasa tenang dan dia juga dapat menjalankan ibadah umrah dengan lancar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN