ALAM remaja merupakan satu tempoh yang amat bermakna, khususnya bagi mereka yang masih di bangku persekolahan.
Ini kerana, pada tempoh tersebutlah mereka akan membentuk keperibadian berdasarkan persekitaran yang ditempuhi sama ada ketika bersama keluarga atau rakan-rakan.
Pemilihan rakan juga sangat penting, kerana ia bakal menjadi kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan hingga ke hari tua.
Bagi lima sahabat baik yang tinggal di Putrajaya, mereka mempunyai cara yang tersendiri untuk mencipta momen bersama iaitu dengan melakukan aktiviti memancing.
Menurut Muhamad Syamel Danial Mohd Shamsul, 15, dia bersama empat lagi sabahatnya iaitu Muhamad Danish Haqimy Mazlan, 15, Muhamad Azat Darwisy Azman, 15,
Muhamad Aqeef Daris Mohd. Firdaus, 15, Ahmad Asyraf Zakwan Khairul Nizam, 16, kerap memancing di beberapa buah tasik sekitar Putrajaya.
“Kebiasaannya jika kami ada masa lapang terutama pada hujung minggu, kami akan pergi memancing bersama-sama di sekitar Putrajaya.
“Bagaimanapun kami lebih kerap memancing di tasik Anjung Floria di Presint 4, Putrajaya kerana ia lebih dekat dengan kediaman kami di Presint 18 iaitu hanya kira-kira 2 kilometer.
“Malah, kos memancing di sini juga agak murah, selain kami boleh datang ke sini dengan menunggang basikal saja,” katanya ketika ditemui semasa memancing di lokasi itu baru-baru ini.
Menurut Syamel lagi, dengan kadar bayaran RM50 seorang untuk tempoh memancing selama 12 jam bermula 7 pagi hingga 7 malam, ia dirasakan berbaloi bagi mereka.
Ini kerana, bayaran tersebut jauh lebih murah berbanding memancing di kolam memancing berbayar yang rata-ratanya mengenakan bayaran sekitar RM50 bagi tempoh enam jam bagi kolam ikan air tawar dan RM60 selama tiga jam bagi kolam air masin.
Tambahan pula katanya, tempoh memancing selama 12 jam itu juga memberikan mereka masa yang panjang untuk memburu pelbagai spesies ikan di tasik tersebut.
“Antara spesies ikan yang menjadi buruan pemancing di tasik ini ialah toman, jelawat, lampam, rohu dan tongsan.

“Malah jika bernasib baik, pemancing boleh menaikkan ikan bersaiz mega daripada pelbagai spesies yang hidup dalam tasik ini.
“Saya sendiri pernah melihat ada pemancing yang berjaya menaikkan ikan toman dan ikan rohu melebihi berat 10 kilogram (kg) seekor.
“Untuk diri saya, saya hanya pernah dapat ikan rohu dengan berat sekitar 8 kg,” ujarnya.
Dalam pada itu, rakannya, Ahmad Asyraf pula berkata, pada sesi memancing di tasik itu baru-baru ini, mereka menggunakan roti putih, dedak ikan yang dicampur dengan bahan tertentu, selain anak ikan lampam hidup sebagai umpan.
Sepanjang memancing di situ selama kira-kira 10 jam, mereka berjaya menaikkan dua ekor ikan toman bersaiz sederhana dan beberapa ekor ikan lampam, selain spesies ikan ‘diamond’.
Katanya, hasil pancingan mereka pada hari berkenaan kurang memuaskan berbanding sebelum ini memandangkan hujan selama kira-kira dua jam pada waktu tengah hari.
Jelasnya, hujan yang turun pada tempoh tersebut sedikit sebanyak merencatkan aktiviti memancing.
Bagi tiga lagi rakan mereka iaitu Danish, Aizat dan Aqeef, jumlah ikan yang diperoleh sama ada banyak atau sedikit tidak menjadi masalah.
Ini kerana jelas mereka, apa yang penting ialah kelima-lima mereka dapat berkumpul dan melakukan aktiviti memancing bersama memandangkan kesemuanya berkongsi hobi yang sama.
Malah katanya, tempoh masa yang ada sepanjang alam persekolahan itu akan digunakan sebaik mungkin bagi mencipta memori bersama-sama.
“Selepas tamat persekolahan nanti, mungkin masing-masing akan membawa haluan sendiri kerana menyambung pengajian di universiti atau kolej.
“Ketika itu, sudah pasti susah untuk berkumpul bagi menjalankan aktiviti memancing. Sebab itulah, dengan tempoh masa masih ada ini, kami cuba sama-sama memancing agar menjadi kenangan buat kami,” ujar Danish.















