PENGALAMAN white water rafting di Sungai Selangor, Kota Kubu Bharu (KKB) bermula dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda selama lebih kurang 10 minit dari titik pertemuan pertama.
Keterujaan mula memuncak apabila para peserta tiba di kawasan sungai dan bertemu dengan pengendali aktiviti berakit iaitu Adren X Park by Rentas Adventures.
Setelah memakai topi keledar, jaket keselamatan dan memilih pendayung, para peserta diberi taklimat keselamatan dan diajar tentang teknik mendayung yang betul.
Menurut Pengurus Adren X Park by Rentas Adventures, Mohd. Shafiq Azmi, aktiviti berakit atas bot pelampung angin tersebut memakan masa selama tiga hingga empat jam.
“Peserta akan dibawa menempuhi empat jeram utama serta beberapa jeram bersifat sederhana dengan jarak sejauh tujuh kilometer.
“Jeram paling besar adalah jeram nombor tiga. Di sini peserta akan melambung-lambung dan berpotensi jatuh ke dalam arus sungai,” katanya.
Keadaan sungai tenang pada permulaan aktiviti membolehkan para peserta melakukan latihan mendayung dengan mengikut arahan pengendali.
Semakin jauh perjalanan, arus air sungai menjadi semakin mencabar. Pada ketika itu, kerjasama berpasukan para peserta mula diuji.
Sesetengah jeram memiliki arus besar sehingga mampu menyebabkan bot pelampung angin terbalik dan para peserta tercampak keluar dari bot.

Namun, tidak perlu khuatir kerana kerjasama antara ahli pasukan mampu memastikan ahli-ahli bot dapat dibawa ke tempat yang selamat.
Tambah Mohd. Shafiq, keadaan arus sungai di Kuala Kubu Bharu bergantung kepada empangan, sekali gus mengurangkan risiko keselamatan.
“Keadaan cuaca seperti hujan tidak akan meningkatkan risiko peserta dihanyutkan kepala air kerana air sungai di sini bergantung pada empangan.
“Atas faktor sama, aktiviti white water rafting di sini berkemungkinan ditunda sekiranya empangan ditutup dan air tidak deras,” ujarnya.
Di tengah-tengah perjalanan menuju garisan penamat, para peserta diberi peluang untuk menguji keberanian mereka untuk membuat terjunan dari atas batu.
Sepanjang perjalanan juga, para peserta akan dibawa ke kawasan air terjun untuk menikmati snek ringan yang disediakan oleh pihak Adren X Park by Rentas Adventures.
Setelah selesai aktiviti di dalam sungai, para peserta dijamu dengan set makanan beserta air.
Untuk makluman, usia paling muda dibenarkan menyertai aktiviti tersebut adalah dalam lingkungan lima hingga tujuh tahun.
Minimum peserta untuk satu bot pelampung angin adalah dua orang, manakala maksimum adalah seramai enam orang.
Peserta mempunyai asma kronik perlu membawa inhaler kerana aktiviti itu banyak melibatkan air yang sejuk.
Jelas Mohd. Shafiq, orang awam yang berminat perlu menempah slot terlebih dahulu sebelum datang melakukan aktiviti tersebut.
“Terdapat dua pilihan sesi iaitu sesi pagi pada pukul 9.30, manakala pada sebelah petang pula sekitar pukul 2.30 petang. Sementara itu, tempoh masa terbaik untuk melakukan aktiviti tersebut adalah dari Oktober hingga Februari,” katanya.
















