fbpx
PROGRAM FHFH mampu memperbaiki hubungan manusia dengan alam semula jadi.

Membaiki hubungan manusia dengan alam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MANUSIA dan alam semula jadi mempunyai hubungan menerusi keperluan menjaga serta menyediakan sumber bagi kelangsungan hidup.

Seandainya pertalian itu dijaga, kedua-dua elemen tersebut boleh diseimbangkan sekiranya pemahaman tentang hubungan difahami dan tidak tercemar dengan nafsu serakah.

Dalam usaha untuk memberi pemahaman tentang hubungan manusia dan alam, Tabung Hidupan Liar (WWF) Malaysia dengan kerjasama WWF-Malaysia, Tourism Pahang dan CIMB Islamic menganjurkan Fraser’s Hill Flora Hunt (FHFH).

Menurut Pengarah Bersekutu WWF-Malaysia Semenanjung Malaysia dan Sains Pemuliharaan, Jason Hon, program yang julung kali diadakan itu menghimpunkan hampir 100 peserta selama sehari.

Ujarnya, ia merupakan inisiatif jangkauan utama di bawah projek ‘Inventori Botani Kompleks Hutan Bukit Fraser’.

“Sebagai sebahagian daripada cabaran, para peserta ditugaskan untuk mencari, merakam gambar dan mengenal pasti spektrum luas tumbuhan asli di Bukit Fraser.

“Ia dilakukan dengan menggunakan aplikasi mudah alih yang dikenali sebagai ArcGIS Survey123 bagi merakam dan menyimpan penemuan mereka seperti nama spesies dan foto.

“Acara ini bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang alam sekitar serta memupuk penghargaan terhadap kepelbagaian bunga yang kaya di tapak.

“Pada masa sama, ia mempromosikan sains warganegara dengan mewujudkan platform kepada peserta untuk menyumbang data penyelidik dan pemuliharaan,” katanya ketika Majlis Penutup FHFH di Bukit Fraser, Pahang baru-baru ini.

Tambahnya, acara tersebut diadakan bagi menghubungkan manusia dengan alam semula jadi, mendalami pemahaman tentang alam sekitar dan mengiktiraf kepentingan pemuliharaan alam sekitar.

Kongsinya lagi, foto dan pengenalan tumbuhan yang dilakukan oleh peserta boleh menyumbang kepada kesedaran dan pemahaman sains lebih baik, sekali gus menyokong perlindungan biodiversiti dalam landskap unik terutama di Malaysia.

JASON (tengah) bergambar bersama peserta FHFH di Bukit Fraser, Pahang baru-baru ini.

Sementara itu, Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamarudin Ibrahim menekankan kepentingan Bukit Fraser dalam landskap ekopelancongan Malaysia.

Katanya, sebagai syurga biodiversiti, Bukit Fraser memainkan peranan penting dalam komitmen Pahang terhadap pelancongan mampan.

“Acara seperti ini membolehkan pengunjung menghargai keindahan alam semula jadi di Bukit Fraser sambil menyumbang kepada pemeliharaannya.

“Selain FHFH, kita juga telah menganjurkan program Pemuliharaan Bukit Fraser selama tiga tahun (2021-2024) yang disokong oleh CIMB Islamic serta didayakan melalui kerjasama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

“Acara berkenaan telah menghasilkan dokumentasi spektrum luas tumbuhan vaskular yang terdapat di Kompleks Hutan Bukit Fraser,” ujarnya.

Pada tahun lalu, menerusi program tersebut juga, pihaknya telah melancarkan satu siri papan tanda pelancongan dan buku panduan bunga digital bagi membantu pengunjung dan orang awam melindungi alam sekitar.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd. Shariff berkata, pihaknya percaya akan kepentingan kerjasama pelbagai pihak dalam memajukan pembangunan mampan sambil menjaga kesejahteraan komuniti.

“Kami berbesar hati untuk memperluaskan program Inventori Botani Kompleks Hutan Bukit Fraser dengan WWF Malaysia untuk memupuk kesedaran alam sekitar dan hubungan lebih mendalam dengan menerokai kawasan Bukit Fraser.

“Menerusi usaha-usaha ini, kami berharap rakyat dan orang ramai akan mendapat inspirasi untuk memainkan peranan mereka dalam memulihara kepelbagaian flora dan fauna.

“Ini kerana, tindakan mereka dapat memainkan peranan penting dalam memelihara keajaiban alam semula jadi untuk generasi akan datang,” ujarnya sebelum menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN