SEBERANG PERAI – Seorang lelaki menempuh azab kesakitan apabila bebola mata kiri dikorek dalam kejadian pergaduhan dengan pemuda warga asing di Flat Taman Tasik Ratna, Tasek Gelugor di sini kelmarin.
Kejadian mengerikan pada pukul 2 petang itu berlaku apabila mangsa berusia 52 tahun yang dipercayai mabuk mengganggu suspek menyebabkan lelaki itu berang.
Difahamkan, suspek etnik Rohingya berusia 28 tahun itu mengorek bebola mata mangsa dengan tangan sebelum diberkas polis di lokasi kejadian.
Bebola mata kiri mangsa kemudian dijumpai berhampiran lelaki itu. Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital dan menerima rawatan awal di Hospital Kepala Batas di sini.
Menceritakan semula kejadian, saksi, K. Vasanthkumar, 35, berkata, dia tidak menyangka insiden pergaduhan tersebut melibatkan sepupunya sendiri.
“Sewaktu kejadian saya berada di kebun sebelum menerima panggilan daripada ibu yang memaklumkan berlaku pergaduhan di hadapan flat kami.
“Saya bergegas ke lokasi sebelum ternampak suspek memijak leher mangsa, manakala bebola mata kiri sepupu saya pula sudah tiada.
“Saya cuba untuk meleraikan pergaduhan antara mereka berdua, namun diancam oleh suspek yang ketika itu memegang rantai besi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.
Menurut Vasanthkumar, penduduk yang menyaksikan pergaduhan itu juga tidak berani membantu kerana khuatir mereka akan dicederakan oleh suspek yang merupakan penduduk di flat yang sama.
Sementara itu, seorang lagi saksi dikenali sebagai Rosnizatul, 24, memberitahu, ketika kejadian, suaminya cuba membantu memujuk suspek untuk melepaskan mangsa, namun tidak diendahkan lelaki asing tersebut.
“Suspek memberitahu suami saya biar dia (mangsa) mati, panggil polis (datang).
“Namun, sebaik melihat ramai penduduk mengerumuni lokasi kejadian, lelaki itu (suspek) segera beredar sambil menanggalkan pakaian sebelum masuk ke dalam semak berhampiran,” katanya.
Tambah Vasanthkumar, lelaki asing itu sebelum ini kerap mengganggu kanak-kanak yang bermain di taman permainan flat tersebut.
Malah, suspek yang tidak bekerja juga dikatakan pernah mengejar dan menggigit seorang kanak-kanak di kawasan flat tersebut.
Bagi pekebun, S. Kishok Kumar, 29, kejadian jenayah seumpama itu tidak pernah berlaku sepanjang 24 tahun dia menetap di flat berkenaan. Kishok menyifatkan serangan tersebut sebagai satu tindakan yang kejam.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, suspek ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
“Suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an ditahan anggota Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Tasek Gelugor sejurus kejadian tersebut. Keterangan mangsa tidak dapat dirakam kerana sedang menjalani pembedahan mata di Hospital Pulau Pinang,” katanya.
















