PETALING JAYA – Seorang remaja lelaki sanggup membuat pinjaman along semata-mata hendak memenuhi kehendak teman wanita yang ingin memakan hidangan ikan siakap tiga rasa asalkan rahsia dia tiada duit tidak diketahui kekasihnya.
Pengurus Pusat Pengajian Fardu Ain dan Al-Quran, Darul Muttaqim (DM), Fariz Izhar Adrus berkata, siasatan pihaknya mendapati remaja berusia 15 tahun dari Selangor itu telah meminjam daripada 12 along.
Katanya, ia berlaku apabila remaja itu gagal melunaskan bayaran awal menyebabkan dia yang tidak bersekolah terpaksa berhutang dengan pelbagai along hingga mencecah RM13,000.
“Ibu bapanya merupakan penjawat awam dan menetap di Selangor tetapi remaja itu tinggal bersama pak ciknya kerana enggan ke sekolah.
“Dia cari iklan along melalui TikTok kerana teman wanitanya mahu makan ikan siakap. Hendak kata tiada duit mungkin dia segan dan akhirnya pinjam along. Kira macam gali lubang tutup lubang,” katanya.
Menurut Fariz Izhar, remaja itu kemudian datang ke DM untuk meminta bantuan sebelum kami menghubungi ibu bapanya untuk memaklumkan kegiatannya.
Tambahnya, DM melangsaikan bayaran tanpa bunga atau caj tidak masuk akal dan remaja itu perlu ikuti pengajian fardu ain selama tiga bulan sebagai syarat.
“Remaja itu merupakan salah seorang daripada lebih 3,700 kes along melibatkan usia 15 hingga 60 tahun yang kita selesaikan sepanjang tiga tahun ini,” katanya.
Ujar Fariz Izhar, mereka membayar jumlah yang dipinjam sahaja selepas membuat rundingan dengan along terlibat.














