Hari ini, masuk 406 hari rakyat Gaza telah diserang tanpa henti oleh rejim pengganas Israel. Mereka dihujani bom-bom yang ditembak menggunakan pesawat dan dron canggih milik Zionis.
Rumah-rumah kediaman mereka ranap menyebabkan penduduk Palestin terpaksa menjadi pelarian di tanah air sendiri. Kawasan penempatan yang dahulu penuh dengan suara riang ketawa kini sunyi sepi.
Tidak sekadar itu, tentera rejim masih berterusan membantai rakyat Palestin dengan menyekat segala bantuan makanan dan ubatan menyebabkan mereka kini berdepan dengan risiko kebuluran dan penyakit yang amat dahsyat.
Sebelum ini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyenaraikan Rohingya sebagai golongan masyarakat yang menerima penindasan paling buruk di dunia.
Hari ini, tercatat dalam sejarah perang dunia moden bahawa rakyat Gaza menjadi mangsa penindasan yang paling buruk dan paling kejam diperlakukan oleh musuhnya.
Hampir tiada lagi sifat kemanusiaan pada rejim Zionis selain bagi mencapai matlamat mereka mengusir dan membunuh rakyat Gaza dengan menjadikan gerakan Hamas sebagai alasan paling ampuh untuk ‘menghalalkan’ segala tindakan.
Baru-baru ini Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean meminta PBB dan masyarakat antarabangsa segera mengisytiharkan bahawa kebuluran berlaku di utara Semenanjung Gaza.
Hal ini kerana rejim Zionis telah menyekat bantuan kemanusiaan dan keperluan asas lain daripada memasuki wilayah Palestin itu selama lebih 50 hari.
Berpuluh-puluh ribu penduduk bakal berdepan malapetaka bencana kebuluran jika tindakan tidak diambil. Masyarakat dunia hari ini tidak lagi boleh membiarkan tindakan-tindakan tidak berperikemanusiaan tentera Israel.
Laporan Pesuruhjaya Tinggi Bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) pula menyatakan hampir 70 peratus daripada lebih 43,000 kematian yang disahkan dalam peperangan di Gaza ialah daripada wanita dan kanak-kanak.
Hari ini juga harapan kita untuk melihat kepimpinan baharu Amerika Syarikat di bawah Presiden Donald Trump dalam menghentikan perlakuan ganas Israel semakin pudar.
Pelantikan bekas Gabenor Arkansas, Mike Huckabee, sebagai duta Amerika Syarikat ke Israel semakin mencerminkan pandangan beliau terhadap nasib Palestin.
Huckabee merupakan seorang konservatif pro-Israel yang disifatkan ‘sangat menyayangi Israel dan rakyat Israel juga menyayangi beliau’.
Sebagai sebuah negara yang berpasak dengan nilai-nilai hak asasi yang tinggi kerajaan baharu di AS seharusnya memenuhi kewajiban undang-undang antarabangsa mereka dengan menghentikan penyaluran senjata pada Israel.
Kita bimbang Israel akan menjadi lebih bermaharajalela di bumi Gaza dengan sokongan politik dan bekalan senjata yang tidak pernah surut.
Oleh itu, dalam keadaan kehidupan kita hari ini yang penuh dengan nikmat keamanan dan limpahan makanan yang tidak pernah berkurang, jangan sesekali lupa saudara kita di Gaza.
Kita kini sibuk dengan pelbagai persediaan menghadapi banjir. Bertan-tan makanan dihantar ke lokasi-lokasi strategik agar tiada yang kelaparan jika bah melanda kelak.
Ketimbang nasib rakyat di Gaza, bilakah kesengsaraan mereka akan berakhir?














