Sikap keras kepala segelintir perokok tegar yang enggan menerima teguran arahan larangan merokok di dalam premis membuatkan ramai pengusaha premis makanan hilang sabar.
Disebabkan kedegilan perokok, rata-rata pengusaha mendakwa mereka berdepan satu lagi situasi mencabar menghadap kehadiran pelanggan ‘istimewa’ selain isu kenaikan harga barang keperluan.
Para pengusaha mendedahkan mereka terpaksa menahan telinga apabila diajak berdebat dengan perokok, malah situasi tersebut jika dibiarkan dikatakan boleh mencetuskan ketegangan yang mungkin berakhir dengan pergaduhan besar.
Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N. V. Subbarow mengakui masih ramai perokok yang masih berkeras untuk tidak mematuhi arahan larangan merokok yang dikuatkuasakan sejak 1 Oktober lalu.
Menurutnya, hasil tinjauan CAP di beberapa premis di George Town turut mendapati perokok tegar bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, malah warga asing.
“Hasil pemerhatian kami di gerai-gerai makan termasuk ‘port’ berkumpul warga tempatan dan asing, mereka seolah-olah tidak takut dengan tindakan yang bakal dikenakan. Mereka tidak hirau dengan teguran, malah selamba menghisap rokok dan menghembus asap termasuk dalam premis.
“Ada pekedai mengakui mereka takut berdepan dengan perokok kerana bimbang diserang atau barangan dalam premis dirosakkan.
“Walaupun ada pelekat larangan merokok, usaha itu tidak berhasil, malah ada yang membuang puntung rokok di laluan masuk premis,” katanya.
Subbarow memberitahu, pihaknya memandang serius situasi melibatkan perokok tegar, malah sudah berkali-kali memberi penerangan mengenai implikasi terhadap diri dan masyarakat.
“Sukarkah perokok hendak terima teguran? Nanti yang dikenakan tindakan adalah pengusaha premis bukannya si perokok.
“Jadi CAP menyeru pihak berkuasa supaya menjalankan operasi penguatkuasaan pada setiap masa, bukannya secara berkala. Jangan bagi muka dan maafkan perokok,” katanya.
Jelas beliau, CAP yakin tindakan yang lebih serius dan secara berterusan akan memberi kesan positif dalam usaha kerajaan menguatkuasakan Akta 852 yang merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan serta larangan merokok di tempat awam.
Baru-baru ini, Kosmo! melaporkan pengusaha premis makanan di Pulau Pinang pening kepala memikirkan sikap degil dan keras kepala sesetengah pelanggan yang tidak mengendahkan teguran larangan merokok di dalam premis.
Ternyata, situasi tersebut masih berlaku meskipun pengusaha restoran telah menampal pelekat larangan merokok di setiap penjuru premis sejak penguatkuasaannya dilaksanakan 1 Oktober lalu.
Bagi penulis, perbuatan si perokok tegar itu sememangnya akan menyusahkan bukan sahaja pelanggan lain tetapi pengusaha premis makanan yang bakal berdepan dengan tindakan oleh pihak berkuasa.
Menghormati dan menerima teguran oleh para peniaga itu lebih baik daripada menunjukkan sikap ego yang sememangnya sedikitpun tidak memberi sebarang keuntungan.














