BRIGHTON – Pep Guardiola berdepan krisis cukup besar apabila mengalami kekalahan keempat berturut-turut buat kali pertama selepas Manchester City tewas 1-2 kepada Brighton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Amex awal pagi semalam.
Meskipun mendahului perlawanan menerusi Erling Haaland pada minit ke-23, namun mereka gagal mengekang asakan tuan rumah yang bangkit meledak dua gol hasil jaringan Joao Pedro dan Matt O’Riley di penghujung separuh masa kedua.
Guardiola berkata, pemain-pemainnya sudah menampilkan aksi cukup baik di separuh masa pertama, namun gagal untuk mengekalkan rentak tersebut sepanjang 90 minit, sekali gus menjadi punca kekalahan.
Sebagai rekod, ini adalah kali pertama City tewas empat perlawanan berturut-turut sejak 18 tahun lalu ketika The Citizens masih lagi dibawah kendalian Stuart Pearce pada Ogos 2006.
“Hari ini (semalam) kami bermain cukup baik di separuh masa pertama tetapi gagal untuk tamatkan perlawanan dengan keputusan yang diharapkan. Kami tidak mampu mengekalkan aksi konsisten selain kurang agresif.
“Saya yakin selepas rehat antarabangsa selepas ini, pemain-pemain akan kembali dengan keyakinan berbeza dan dari situ, kami perlu bangkit menampilkan aksi sebenar,” kata Guardiola yang kali pertama mengalami empat kekalahan berturut-turut dalam kariernya.
Sementara itu, masalah kecederaan ramai pemain utama seperti Kevin De Bruyne dan Rodri turut menjadi punca aksi terburuk City yang menjurus kepada kekalahan rekod Guardiola sejak beliau mengendalikan Barcelona lagi.
Pengendali dari Sepanyol itu tetap percaya City akan kembali ke prestasi terbaik apabila pemain-pemain penting pulih daripada kecederaan dalam usaha mereka kembali mencabar Liverpool sebagai peneraju liga.
“Perkara ini (kekalahan keempat berturut-turut) boleh berlaku sekali seumur hidup. Kami perlu berubah untuk kembali ke prestasi seperti biasa, jadi ini adalah cabaran yang perlu dihadapi,” ujar Guardiola. – AGENSI