fbpx

1BestariNet: Tiada tindakan undang-undang difailkan kerajaan setakat ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kah Woh ketika di Dewan Rakyat, hari ini. -Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan tiada tindakan undang-undang sivil yang difailkan oleh kerajaan setakat ini berhubung tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn. Bhd (YTL) pada 2011.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pelaksanaan projek 1BestariNet itu masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“KPM menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menyiasat perkara ini dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak SPRM dalam siasatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) mengenai status terkini projek berkenaan dan tindakan undang-undang yang telah dikenakan terhadap syarikat yang diberikan tender.

Sebelum ini media melaporkan, SPRM telah memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet selepas membuat penggeledahan di pejabat kerajaan dan YTL.

Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, 1BestariNet adalah inisiatif kerajaan untuk menggantikan dan menambah baik sistem rangkaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di sekolah.

Katanya, inisiatif itu bertujuan sebagai penambahbaikan kepada perkhidmatan SchoolNet yang tamat pada 12 Disember 2011 dengan menekankan aspek perkhidmatan rangkaian end-to-end dan Virtual Learning Environment (VLE).

“Kementerian Kewangan melalui surat bertarikh 23 November 2011 telah bersetuju menawarkan tender perkhidmatan 1BestariNet Fasa 1 kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTLC).

“Projek ini dilaksanakan bermula pada 13 Disember 2011 sehingga 12 Jun 2014 bagi kontrak Fasa 1, 13 Jun 2014 sehingga 30 Jun 2016 bagi Kontrak Fasa Interim dan 1 Julai 2016 sehingga 30 Jun 2019 bagi Kontrak Fasa 2.

“Sepanjang tempoh projek, sebanyak 9,828 sekolah dibekalkan dengan perkhidmatan 1BestariNet,” katanya.

Menurutnya, YTLC juga mendirikan sebanyak 2,748 struktur menara komunikasi dalam premis sekolah untuk penyampaian Internet, antaranya 1,143 struktur dibina di atas tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dan 1,605 struktur dibina di atas tapak premis sekolah bukan milik PTP.

Bagaimanapun katanya, selepas perjanjian tamat pada 30 Jun 2019, terdapat isu yang belum selesai iaitu berkaitan kadar sewaan tapak dan caj elektrik untuk Menara 1BRIS yang membabitkan 2,748 menara.

“Pada 17 Mac tahun lalu, Nota Jemaah Menteri berkaitan Cadangan Penyelesaian Isu Sewaan Tapak dan Caj Elektrik Menara Komunikasi 1BestariNet Receiver Integrated System (1BRIS) bagi Projek Perkhidmatan 1BestariNet Fasa 2 dan Pasca 1BestariNet sudah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

“KPM sedang memuktamadkan cadangan penyelesaian yang akan dikemukakan melalui Memorandum Jemaah Menteri untuk menentukan hala tuju penyelesaian bagi isu ini,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI