DALAM pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu, antara yang mencuri perhatian ialah pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 yang bakal dimulakan pada pertengahan tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut hanya akan menjejaskan 15 peratus golongan berpendapatan tertinggi, yang membayangkan subsidi akan disalurkan mengikut kelas pendapatan.
Perkembangan ini dilihat bakal mempengaruhi corak penggunaan pengangkutan oleh rakyat Malaysia menuju ke hadapan, dari segi pemilihan kenderaan, ekosistem kenderaan elektrik dan pengangkutan awam.
Pada masa sama, dari segi kaedah penyasaran subsidi, ada pihak yang menyarankan agar diberi mengikut jenis kenderaan berbanding berdasarkan pendapatan individu atau isi rumah.
Antara alasan diberi ialah subsidi wajar diberi mengikut penggunaan, bermakna sekiranya orang kaya memilih untuk memandu kereta kancil, dia akan mendapat subsidi minyak kerana kadar penggunaan petrol secara relatifnya lebih rendah.
Begitu juga sekiranya golongan berpendapatan rendah memakai Mercedes-Benz, dia perlu membayar harga pasaran.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda-UKM), Profesor Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, beliau sejujurnya lebih selesa sekiranya harga jualan RON95 di pam minyak dijual pada harga yang adil dan saksama kepada semua, dan dalam pada masa sama, kerajaan memfokuskan peruntukan yang ada untuk memperkasakan golongan susah.
“Jangan cuba nak reka tier (peringkat) itu ini. Tetapi kalau nak juga, berbanding menyasarkan individu dan isi rumah, saya cadang mengikut jenis kenderaan.
“Nak suruh declare (isytihar) ini susah, masing-masing akan mengaku saya bukan T15, saya masih T20.
“Kalau di lebuh raya, mereka memberi harga berbeza mengikut kelas kenderaan. Kalau anda bawa motor paling mahal di dunia pun tak perlu bayar tol.
“Tapi lumrahnya yang berpendapatan rendah akan bawa motor hari-hari,” katanya dalam sidang media khas berhubung Belanjawan 2025 yang dibuat di UKM, baru-baru ini.
Pada masa sama, Noor Azlan mengaku, beliau tidak memiliki jawapan mutlak mengenai cara terbaik untuk penyasaran subsidi petrol.
Namun tegas beliau, dalam sebarang bentuk penyasaran mustahil identifikasi golongan yang benar-benar layak akan tepat 100 peratus.
“Tetapi kerajaan janganlah merumitkan urusan, arahkan isytihar itu ini kerana rakyat akan memberontak. Lebih banyak kerajaan minta, lebih banyak mereka hilang kepercayaan.
“Kenapa saya suka berdasarkan kenderaan? Sebab di Malaysia semua kenderaan didaftar di sini, jadi Jabatan Pengangkutan Jalan ada rekod.
“Kalau orang kaya pakai Perodua Kancil, biarlah dia dapat harga murah, sebab dia akan guna minyak sedikit. Orang miskin guna Mercedes kena bayar, kerana guna lebih banyak minyak.
“Miskin kaya bukan penentu penggunaan minyak. Tetapi masuk akal jika kita menyatakan rata-rata orang berpendapatan tinggi gunakan kereta dengan enjin lebih besar, jadi penggunaan minyak lebih banyak.
“Sekiranya buat penyasaran pasti akan berlaku ketirisan. Paling tidak kita hanya boleh mengurangkan ketirisan tersebut,” ujarnya.
Kaedah yang baik pasti akan diterima rakyat.














