fbpx
Gambar fail tangkapan individu dipercayai terbabit kumpulan militan Daesh.

Daesh cetak pengganas lone wolf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pergerakan kumpulan militan alaf baharu seperti Islamic State (IS) atau Daesh dianggap paling bahaya jika mereka bergerak secara lone wolf selepas individu itu terpengaruh dengan propaganda yang disebarkan menerusi media sosial.

Pergerakan dan ideologi melampau yang disebarkan oleh kumpulan pengganas itu berbeza dengan kumpulan militan lain sebelum ini yang mempromosikan ‘jihad’ di luar negara.

Profesor Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Mizan Mohammad Aslam berkata, Daesh yang diasaskan oleh Abu Bakr Al-Baghdadi dan Abu Turki pada 2017 membenarkan ahlinya berjihad di lokasi masing-masing.

“Ini bermakna, mereka (anggota militan) boleh melakukan jihad di negara sendiri misalnya jika seseorang itu berada di Malaysia, jadi mereka boleh melakukannya di sini.

“Pemimpin Daesh menggunakan media sosial untuk menyebarkan doktrin. Kaedah ini paling bahaya kerana akan mewujudkan serangan lone wolf atau secara bersendirian.

“Paling menakutkan pergerakan secara lone wolf ini sukar dikesan berbanding (serangan) secara berkumpulan,” katanya kepada Kosmo! di sini Semalam.

Menurut Mohd. Mizan, ancaman pengganas di Malaysia ketika ini ibarat ‘bom jangka’ yang boleh meledak pada bila-bila masa sekiranya tidak dikawal dan dibendung pihak berkuasa.

Menurut beliau, terdapat empat kumpulan pelampau yang masih aktif di negara ini iaitu Daesh, Jemaah Islamiah (JI), serpihan Al-Qaeda dan Darul Islam Sabah (DIS).

“Ini antara kumpulan yang masih aktif serpihan ahlinya masih wujud. Jadi, bagi saya ancaman kumpulan militan di Malaysia sentiasa ada, namun ia bukanlah pada tahap merah (bahaya).

“Sekarang ini ia berada pada tahap kuning iaitu kita perlu sentiasa berwaspada kerana pada bila-bila masa sahaja mereka boleh ‘aktif’.

“Ini kerana selagi kita masih hidup dan beragama, kita akan sentiasa terdedah dengan fahaman ekstremis yang pada bila-bila masa sahaja boleh meresap ke dalam fikiran,” katanya.

Tegas beliau, ancaman kumpulan militan atau ekstremis bukan sahaja melibatkan agama Islam, malah merangkumi pelbagai agama, kaum dan ideologi.

“Misalnya dalam Kristian, ada Evangelis, dalam Hindu pula ada Hindutva, Buddha ada Nine Six Nine (969) dan Mavatar, Jewish ada Zio­nis dan Sikh ada Khalsa Babbar.

“Semua ini adalah kumpulan ekstrem radikal yang akan hijack (serang) mana-mana agama. Bagi pelampau kaum dan ideologi juga ada misalnya kumpulan berhaluan kanan ‘far right’ se­perti ‘White Supremacy’ dan ‘Hindu Supremacy’,” katanya.

Mohd. Mizan berkata, berdasarkan kajian yang dilakukan beliau mendapati terdapat 16 kumpulan militan yang pernah bertapak di negara ini sejak 1947 selepas Perang Dunia Kedua bermula dengan parti komunis.

“Bagi kumpulan militan berasaskan ideologi agama, ia bermula kumpulan Jundullah pada tahun 1967 dan berterusan sehingga terbentuk­nya kumpulan lain seperti JI, Daesh dan terkini DIS.

“Selain itu, wujud juga kumpulan kecil militan seperti Kumpulan Crypto, Kumpulan Revo dan Kumpulan Gagak Hitam (KGH) dan banyak lagi,” kata beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN