KUALA LUMPUR – Menjalani hukuman penjara selepas dikaitkan dengan kumpulan militan Islamic State (IS) atau Daesh memberi banyak pengajaran berguna buat Akmal (bukan nama sebenar).
Bekas tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) itu mengakui kehidupan di sebalik tirai besi tanpa cahaya matahari dan dipisahkan dengan tembok membuatkan dia banyak menggunakan peluang tersebut untuk muhasabah diri.
“Mula-mula saya fikir apabila masuk penjara, sayalah orang yang hebat (sertai IS), tetapi di dalam sana ramai ‘otai’ JI (Jemaah Islamiah) yang sudah pergi berjuang di luar negara seperti Iraq dan Syria.
“Yang betul-betul buat saya terkesan apabila ada seorang banduan senior menitipkan nasihat. Dia cakap ringkas sahaja yang berbunyi ‘Kita dalam penjara bukan hukuman, tetapi kifarah’.
“Ayat itu membuat saya sedar bahawa jika Allah izinkan saya pergi berjuang, mesti saya sudah sampai di sana (Syria),” katanya ketika ditemu bual Kosmo! secara eksklusif baru-baru ini.
Dibesarkan di Kuala Lumpur dalam keluarga yang rata-ratanya anggota bersenjata, Akmal memberitahu, nasihat otai tersebut seolah-olah ‘menjentik’ bahawa perjuangan untuk berperang di Syria seolah-olah tidak ‘diizinkan’.
“Jika Allah izinkan mungkin saya sudah sampai ke sana, maknanya saya tidak dibenarkan untuk ke sana,” katanya.
Akmal mengakui mentalnya agak terkesan sewaktu berada di dalam tirai besi.
“Berada dalam penjara, Allah uji sedikit sahaja, goyang tak goyang, mental tak mental. Apabila kena kurung, secara automatik kita akan muhasabah diri, tak perlu tibai,” katanya.
Cerita lelaki berusia 38 tahun itu, setahun sebelum ditangkap oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), anak kedua daripada enam beradik itu pernah bertemu seorang agamawan dikenali sebagai Mufti Menk dalam sebuah program di Lembah Klang pada 2014.
Pada pertemuan itu, Akmal ada meluahkan hasratnya untuk menyertai peperangan di Syria.
“Beliau berpesan ‘Itu semua fitnah (peperangan di Syria), jika kamu pergi saya akan berdoa, tetapi ingat, semua itu fitnah. Apabila berada dalam penjara, ada yang kata Mufti Menk tidak betul.
“Sejak itu saya tekad untuk berubah. Bagi saya walaupun dalam kumpulan pun sudah tidak sependapat pertikai bergaduh, macam mana di sana (medan perang),” katanya.
Tambah Akmal, antara perkara yang paling membuatkan dia mahu berubah selepas bermimpi mengaji al-Quran ketika berada di dalam penjara.
“Dalam penjara saya khatam al-Quran lapan kali, selepas dapat mimpi mengaji al-Quran saya terfikir jihad ini bukan semata-mata pergi berperang, tidak perlu angkat senjata. Banyak lagi kebaikan yang boleh dibuat kerana Islam itu luas.
“Jika sebelum ini susah nak khatam al-Quran, tetapi di penjara lapan kali. Ia menyedarkan saya banyak lagi cara lain untuk berjihad ke jalan Allah melalui agama.
“How good your solat (sejauh mana bagus solat anda), perbaiki diri sendiri dahulu dan faham syahadah. Kesilapan saya adalah saya rasa diri saya layak. Hendak berjihad perlu kenal Allah, kenal diri. Saya gagal di situ,” katanya.
Tambah Akmal, ketika itu dia bertekad mahu terlibat dalam kerja-kerja amal serta berbakti kepada keluarga dan masyarakat selepas dibebaskan.














