TIADA siapa yang mahu hidup berjauhan dengan orang tersayang. Baik sebagai seorang ibu mahupun anak. Begitu juga dengan pasangan bergelar suami isteri.
Dalam konteks yang lebih umum, pasangan suami isteri yang tidak tinggal bersama akan melalui perhubungan jarak jauh atau ‘PJJ’.
PJJ biasanya berlaku atas beberapa faktor dan yang paling utama adalah atas tuntutan kerja.
Maksudnya, si isteri ataupun suami terpaksa berjauhan dengan pasangan masing-masing atas alasan bekerja dan tinggal di negeri atau daerah yang berbeza.
Di Malaysia, kehidupan PJJ ini bukanlah perkara baharu dan mungkin hampir kebanyakan pasangan berkahwin pernah melaluinya.
Apa yang membezakan hanyalah tempoh masa. Ada yang hidup sebagai pasangan PJJ untuk tempoh sebulan atau setahun dan ada juga yang melaluinya sejak berkahwin sehingga beranak-pinak.
Dalam sektor awam, profesion perguruan dan keselamatan selain kejururawatan adalah antara bidang kerjaya yang biasanya menuntut pasangan untuk hidup secara PJJ.
Paling popular sudah pasti kerjaya sebagai guru sehinggalah wujud istilah ‘duka lara’.
Guru ‘duka lara” merujuk kepada keadaan di mana seseorang itu mengalami tekanan emosi dan mental akibat pelbagai faktor.
Isu ini dikaitkan dengan situasi seorang pendidik yang terpaksa berjauhan dengan pasangan masing-masing selain kesukaran mereka untuk memohon pertukaran.
Perkara ini nampak remeh dan mungkin sangat biasa, tetapi kesan daripada ‘duka lara’ ini sebenarnya boleh memberi kesan kepada institusi kekeluargaan.
Impak sosial dan psikologi paling ketara sehingga boleh mencetuskan tekanan mental yang melampau. Natijahnya, kualiti kerja akan menurun.
Pasangan PJJ juga akan melalui fasa kesunyian yang mendalam. Ketika pasangan lain saling bergembira dan berkongsi momen kebersamaan setiap hari, pasangan PJJ pula akan sentiasa merasa kekosongan lebih-lebih lagi ketika menghadapi masalah.
Paling berbahaya adalah hilangnya rasa percaya pada pasangan sehingga menimbulkan rasa curiga. Dan di akhirnya, isu kecurangan pun berlaku yang akhirnya membawa kepada keruntuhan sebuah rumah tangga.
Hakikatnya, tiada siapa mahu rumah tangganya musnah dan berantakan hanya kerana tinggal berjauhan atas faktor mencari rezeki.
Namun, pertimbangan waras daripada pihak berkaitan dalam meluluskan sebarang permohonan pertukaran pasangan PJJ mengikut keperluan mendesak sangatlah diperlukan.
Mungkin saja penilaian dari segi kemanusiaan itu lebih sesuai digunakan untuk kes-kes tertentu, berbanding hanya bergantung semata-mata kepada syarat di atas kertas.
Bukan apa, jika kesan buruk ini dibiarkan tanpa adanya penyelesaian, perhubungan jarak jauh ini boleh meninggalkan luka dan kenangan yang paling sukar untuk dilupakan.














