SITI KHATIJAH menunjukkan rak beras yang kosong di kedainya di Kelang Lama, Kulim baru-baru ini

Beras tempatan ada di Jualan Rahmah, tetapi ghaib di pasar raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Isu ‘kehila­ngan’ beras putih tempatan 5 ki­logram (kg) dan 10kg di beberapa negeri masih belum dapat diselesaikan sehingga kini.

Peniaga mendakwa, ada dalam kalangan mereka tidak menerima bekalan sejak dua tahun lepas.

Rata-rata yang ditemui berkata, sejak itu mereka ha­nya dibekalkan dengan beras import biarpun beberapa kali bertanyakan kepada pengedar mengenainya berikutan keluhan pengguna yang terpaksa menge­luarkan perbelanjaan le­bih.

Di Kulim Kedah, pemilik sebuah pasar mini, Siti Khadijah Maidin, 40 berkata, kali terakhir dia memperoleh bekalan beras putih tempatan adalah pada penghujung 2022 ketika pandemik Covid-19.

“Apa yang pelik ialah pada program Jualan Rahmah yang dianjurkan pihak tertentu di daerah ini, ada pula beras tempatan yang dijual.

“Saya tidak tahu dari mana mereka mendapatkan bekalan, sedangkan kami peniaga kecil hanya dapat menjual beras import,” ujarnya.

Dalam pada itu, tinjauan yang dibuat di sebuah pasar raya di Kampar, ­Perak pula mendapati, rak beras ha­nya dipenuhi de­ngan beras putih import, beras wangi dan beras istimewa yang dijual pada harga RM32.90 hingga RM40.90.

RAK beras di sebuah pasar raya di Kampar dipenuhi dengan timbunan besar import.

Seorang pemilik pasar mini yang mahu dikenali sebagai Halim berkata, dia tidak me­nerima stok beras putih tempatan sejak awal tahun lalu.

Katanya, ramai pelanggan yang merungut mengenainya memandangkan harga beras putih tempatan murah iaitu sekitar RM26 hingga RM30 pelbagai jenama bagi 10kg.

“Bagaimanapun, kerana tiada stok, mereka terpaksa beli beras lebih mahal,” katanya.

Di Kuala Lipis, Pahang, pengguna dan peniaga makanan mengharapkan agar isu kekura­ngan bekalan beras putih tempatan dapat diselesaikan segera.

Seorang pengguna, Norharyati Hamzah, 38, berkata, sejak beberapa bulan lalu, dia terpaksa berbelanja lebih untuk membeli beras import kerana beras putih tempatan sukar didapati di pasaran.

“Kalau boleh saya minta kerajaan segera menyelesaikan isu ini bagi membolehkan rakyat bawahan tidak tertekan dengan kos sara hidup yang semakin me­ningkat pada masa ini,” katanya.

Dalam pada itu, seorang peniaga kedai makan yang mahu dikenali sebagai Wan, 47, berkata, ketiadaan beras putih tenpatan di pasaran benar-benar memberi kesan kepada perniagaannya memandangkan kos yang lebih dikeluarkan bagi membeli keperluan berniaga.

“Ini tidak termasuk lagi bahan mentah lain seperti sayur, ikan dan sebagainya. Jadi, besar harapan saya agar masalah ini berakhir segera demi kebaikan semua pihak lebih-lebih lagi rakyat biasa seperti saya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN