SETAHUN lalu pemuda itu cuba mencari hobi baharu sebagai terapi diri daripada kesibukan dan tekanan kerja.
Selepas mencuba pelbagai aktiviti, dia kemudian tertarik untuk mengikut adiknya memancing di sebuah kolam ikan air masin.
Bermula dari situ, dia mula jatuh cinta dengan hobi berkenaan yang sehingga kini menjadi aktiviti di masa lapang.
Berkongsi pengalaman menjalani hobi memancing, pempengaruh, Mohd. Faiz Khairudin, 34, mengatakan dirinya tidak pernah menyangka bahawa memancing boleh menambat hatinya kerana sebelum ini dia tidak pernah mencuba aktiviti berkenaan.
“Sebelum ini saya pernah mencuba hobi lain seperti badminton tetapi aktiviti ini tidak dapat dilakukan tanpa kumpulan dan perlu merancang masa untuk berkumpul bersama.
“Kemudian saya ikut adik memancing dan sejak kali pertama, aktiviti ini membuatkan saya lupa dengan kesibukan kerja dan memberi ketenangan, malah boleh dilakukan sendiri pada masa lapang,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.
Tambahnya, sejak kali pertama itu, dia mula aktif memancing dan mengambil inisiatif untuk belajar teknik memancing menerusi media sosial serta bengkel.
Gemar memancing di kolam ikan air masin, bapa kepada dua cahaya mata itu memberitahu, selain sebagai terapi, memancing juga telah memperkenalkan dia dengan ramai kawan baharu yang turut berkongsi ilmu.
Selain itu, dia juga berkongsi ilmu memancing menerusi platform media sosial dengan kandungan-kandungan ilmiah tentang teknik memancing terutama buat orang baharu (newbie).
Katanya, meskipun masih belajar untuk mahir dalam memancing, dia mengakui di media-media sosial kurang perkongsian tentang tip memancing bagi orang-orang yang baru menceburkan diri dalam hobi berkenaan.
“Kebanyakan kandungan di media sosial kerap berkongsi keterujaan semasa pemancing bertarung menaikkan ikan tetapi sukar untuk menjumpai video tentang tip atau cara-cara memancing.
“Penglibatan saya sebagai pempengaruh memancing berawal tanpa sengaja kerana mulanya sekadar berkongsi pengalaman tetapi tidak sangka ramai yang menontonnya,” ujarnya yang aktif di platform TikTok menerusi akaun, faiz mancing.
Kongsinya lagi, menerusi kandungan ilmiah tentang memancing dia mahu membantu ramai orang belajar cara yang betul tentang aktiviti berkenaan, sekali gus menarik minat ramai untuk meneroka hobi tersebut.
Selain mendapatkan ilmu di media sosial, Mohd. Faiz juga berkongsi bahawa terdapat banyak cara lain untuk seseorang mahir dalam memancing.
Jelasnya yang gemar memburu ikan jenahak, langkah pertama yang boleh dilakukan adalah berkunjung ke kolam-kolam memancing kerana lokasi itu mudah diakses.
“Kolam ikan adalah lokasi ideal untuk seseorang mahu memulakan hobi memancing kerana di sana kita boleh bertemu dengan ramai pemancing lain.
“Kemudian, di sana juga kita boleh tengok orang lain memancing dan meniru teknik mereka terutama yang sering berjaya menaikkan ikan,” kongsinya yang telah berkunjung ke pelbagai lokasi kolam ikan termasuk di Selangor dan Negeri Sembilan.
Katanya lagi, selain itu juga, untuk memastikan memancing di kolam boleh membuahkan hasil, pemancing juga perlu rajin melakukan kajian di setiap lokasi yang dikunjungi terutama tentang di bahagian mana ikan banyak berkumpul, pola makan ikan, waktu ia dilepaskan dan lain-lain berkaitan.
Hal ini sedikit sebanyak dapat membantu pemancing untuk meraih hasil selain menjadikan kunjungan ke kolam ikan berbaloi.














