MASA kini, media baharu seperti audio siar (podcast) ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Boleh dikatakan, di mana-mana sahaja ada podcast baharu muncul saban hari.
Selain menjadi medium yang lebih mesra dan didekati ramai pengguna, podcast juga menjanjikan pulangan yang berbaloi jika tidak salah percaturan.
Miza (bukan nama sebenar) bagaimanapun cukup trauma tatkala mendengar tentang podcast.
Bercerita kepada K2, wanita kelahiran Kuala Selangor itu memberitahu, dek kerana podcast, hubungan rumah tangganya karam di tengah lautan.
Ceritanya, dia sebelum ini pernah berkahwin dengan bekas suaminya yang boleh dikategorikan sebagai pempengaruh media sosial.
“Cumanya Afiq (bukan nama sebenar) bukanlah pempengaruh yang popular sampai satu Malaysia kenal dia. Nama dia kian meningkat naik dengan segmen menarik dan unik yang dibawakan dalam podcastnya itu.
“Kerana terlalu obses dengan podcast jugalah dia sanggup berhenti kerja yang sudah dikatakan terjamin dan ada pencen selepas bersara nanti,” katanya memulakan bicara.
Jelas Miza, perkenalannya dengan Afiq begitu singkat dan mereka kenal dalam satu acara hiburan di ibu kota beberapa tahun lalu.
Pertemuan tersebut akhirnya menimbulkan bibit-bibit cinta dan menginjak kepada pernikahan secara ringkas sebelum sah bergelar suami isteri.
“Saya kenal dia cuma setahun sahaja. Kami dua-dua bujang ketika itu dan saling tertarik antara satu sama lain.
“Jadi, tanpa membuang masa dan menunggu lama, kami berbincang dan nekad untuk menghalalkan hubungan itu,” katanya.
Cerita Miza, suaminya merupakan pegawai komunikasi di salah sebuah agensi kerajaan yang berlokasi di Putrajaya.
Pun begitu, ketika perkenalan, suaminya ketika itu sedang giat mengusahakan sebuah podcast dan ada juga saluran YouTube berkenaan gaya hidup yang merangkumi percutian, jamu selera dan banyak lagi.
“Ketika itu suami memang aktif buat podcast dan boleh kata setiap minggu dia pasti akan menyewa sebuah studio yang agak jauh dari rumah untuk merakamkan siaran podcast.
“Jadi, masa awal-awal pernikahan, saya okey lagi ditinggalkan berseorangan sebab faham dengan kerja suami.
“Lagipun dia (suami) pun ada beritahu yang dia buat podcast hanya secara suka-suka dan nak dapatkan pendapatan tambahan. Kerja utamanya sebagai pegawai komunikasi tetap menjadi keutamaan,” katanya.
Selang setahun ujar Miza, mereka dikurniakan cahaya mata sulung hasil daripada perkongsian hidup bersama.
Ketika itu, Miza diberikan cuti bersalin selama dua bulan dan suaminya yang sepatutnya membantu menguruskan dia dan anak.
Pun begitu, akui anak bongsu daripada tiga beradik itu, suaminya langsung tidak ambil tahu apatah lagi mengambil berat dengan dirinya yang ketika itu sedang berpantang.
“Ketika itu, ada sedikit pertengkaran antara saya dan suami. Masa lepas bersalin, saya dah beritahu dia untuk berpantang di rumah orang tua di Kuala Selangor, tetapi dia tidak benarkan kononnya dia boleh jaga dan bantu.
“Bila saya setuju dan akur katanya, saya pula dibiarkan begitu sahaja. Dia sibuk dengan rakaman podcast di studio tempat dia selalu menyewa, sibuk dengan tetamu yang diagung-agungkannya itu tanpa memikirkan isterinya.
“Balik dari bertugas di pejabat, lepas Maghrib terus dia keluar ke studio dan pulang ke rumah sekitar pukul 12 tengah malam.
“Jika hujung minggu ada kalanya tak balik ke rumah langsung. Bayangkan apa perasaan saya ketika itu? Saya ini berpantang.
“Bila saya tegur dan tanya, jawapannya dia sibuk dan minta saya jaga diri. Jika ada apa-apa baru hubungi dia,” katanya lagi.
Paling membuat Miza naik angin dan marah, suami sanggup berhenti kerja dengan notis 24 jam atas alasan mahu fokus dengan podcastnya yang semakin dikenali dan mendatangkan pulangan tanpa memberitahu saya.
Ujar Miza, dia tahu yang suaminya sudah berhenti kerja pun apabila dia melihat suaminya tidak bangun pagi dan bersiap ke tempat kerja seperti biasa selama beberapa hari.
Hampir dua tahun bersama dan hidup ibarat ‘tiada’ suami, Miza nekad dan sudah berfikir masak-masak untuk memfailkan cerai ke atas suaminya.
“Puas saya berbincang dengan suami tetapi langsung tiada jalan penyelesaian. Saya pun dah berbincang dengan ibu bapa selain adik-beradik dan putuskan untuk failkan cerai.
“Beberapa minggu naik turun mahkamah, kami akhirnya berpisah secara baik dan hak penjagaan anak diberikan sepenuhnya kepada saya.
“Doa saya semoga suami terus berjaya dengan apa yang dilakukan dan jalankanlah tangungjawab sebagai suami andai kata dia bernikah lagi nanti,” katanya.














