fbpx
GAMBAR HIASAN.

Kuala Lumpur sesak macam Jakarta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELAIN pembangunan yang pesat, kesesakan jalan raya merupakan sesuatu yang sinonim dengan bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Lazimnya, perkara itu dapat dilihat terutama pada waktu puncak ketika orang ramai sibuk mengejar masa ingin pergi dan pulang dari kerja.

Malah, situasi tersebut turut berlaku pada hujung minggu apabila ramai memanfaatkan cuti untuk meluangkan masa bersama keluarga di pusat beli-belah dan kawasan tumpuan sekitar ibu negara.

Berdasarkan kajian yang dikeluarkan Boston Consulting Group, penduduk di Kuala Lumpur rata-rata menghabiskan masa sekitar 53 minit dalam kesesakan setiap hari.

Seperti penulis sendiri, perjalanan ke pejabat setiap hari mengambil masa lebih satu jam meskipun jarak perjalanan hanya sejauh 10 kilometer (km).

Pusinglah ikut jalan mana sekali pun, pastinya semua laluan dipenuhi dengan kenderaan.

Biarpun ia bukan sesuatu yang baharu, namun penulis dikejutkan dengan sebuah foto di media sosial baru-baru ini, menunjukkan keadaan trafik di sebuah simpang empat yang menghubungkan Jalan Tun Razak dan Jalan Ampang.

Foto tersebut yang diambil pada pukul 5.42 petang memaparkan keadaan sesak luar biasa meskipun terdapat lampu isyarat.

Situasi tersebut boleh dikatakan mirip keadaan di Jakarta, Indonesia yang terkenal dengan kepadatan penduduk dan kesesakan jalan raya.

Daripada foto itu, banyak kenderaan dilihat berada di dalam petak kuning menyebabkan kesemua empat laluan terhalang sekali gus mengakibatkan trafik lebih sesak daripada kebiasaannya.

Seorang pengguna jalan raya dikenali sebagai Hamidi Zuhdi, 31, mendakwa insiden seumpama itu berlaku berpunca daripada sikap pemandu sendiri.

“Punca kesesakan bukan disebabkan oleh lampu isyarat rosak tetapi sikap manusia yang pentingkan diri sendiri.

“Tidak mahu bertolak ansur dan selalu memikirkan bahawa dia sahaja yang ingin sampai cepat ke destinasi,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sementara itu, Pegawai Psikologi Kanan, Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, sikap pemandu boleh dipengaruhi disebabkan berada di dalam kenderaan terlalu lama.

“Ia boleh menimbulkan kegelisahan. Lebih teruk jika seseorang itu mempunyai masalah kesihatan seperti stres.

“Keadaan ini biasanya boleh mempengaruhi tingkah laku pemandu di jalan raya,” katanya.

Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk memanfaatkan pengangkutan awam termasuk merancang perjalanan bagi mengelak kesesakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN