Oleh AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI, NUR HUDA MUSA, MOHD. SHARKAWI LONDING dan NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
PETALING JAYA – Keluarga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang terlibat nahas di Dungun, Terengganu pada Rabu lalu mengakui tidak menyimpan dendam terhadap pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CR-V yang meragut nyawa anak mereka.
Biarpun begitu, mereka memohon diberikan masa sehingga keadaan reda sebelum bertemu keluarga wanita itu susulan permohonan maaf yang dibuat suaminya kelmarin.
Ku Azmi Saad, 47, berkata, dia menganggap tragedi yang meragut nyawa anak lelaki tunggalnya, Ku Adib Aizad, 20, serta dua yang lain sebagai takdir yang tertulis buat keluarganya.
“Saya terima permohonan maaf daripada keluarga wanita itu. Bagi saya kejadian ini di luar jangkaan dan ini takdir yang tertulis untuk keluarga saya.
“Kami tidak simpan dendam terhadap dia, lagipun semua urusan arwah telah dipermudahkan,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Menurut Ku Azmi, biarpun reda, isteri dan anak-anaknya yang lain masih terkesan dengan pemergian anak sulung itu kerana arwah rapat dengan adik-adiknya yang dianggap seperti bodyguard dalam keluarga.
“Arwah banyak nasihat dan menegur adik-adik terutama berkaitan aurat jika mereka hendak keluar rumah. Arwah cukup marah kalau adik-adiknya keluar rumah tanpa memakai tudung atau tidak menutupi bahagian dada,” katanya.
Setakat ini, Ku Azmi masih menunggu laporan nahas itu daripada pihak berkuasa.
Ditanya tentang perancangan umrah, Ku Azmi berkata, dia menerima tawaran daripada satu syarikat lain selain syarikat yang menguruskan perjalanannya bersama isteri sebelum ini.
“Cuma kali ini saya akan bawa semua (tiga anak), tetapi bukan dalam masa terdekat, biar semua urusan arwah selesai mungkin tahun depan,” kata lelaki itu.
Di Dungun, bapa arwah Khairul Anwar, Jamaludin Husin, 53, memberitahu, ketika ini dia masih belum bersedia untuk bersemuka dengan keluarga pemandu SUV tersebut walaupun sudah memaafkan wanita tersebut.
“Sebagai orang Islam, saya maafkan pelaku kerana jika tidak berbuat demikian, sampai bilapun dendam tidak akan habis.
“Saya terima dan reda, tetapi belum bersedia berjumpa buat masa ini. Tindakan undang-undang tetap akan diambil demi keadilan buat arwah anak saya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Jamaludin, kehilangan anak bongsu yang juga satu-satunya anak lelaki itu memberi kesan mendalam buat mereka selepas kehilangan anak sulung tujuh tahun lalu dalam kemalangan jalan raya.
“Sampai hari ini, isteri saya (Norma Mohamed Nor) pegang baju arwah setiap masa untuk melepaskan rindu. Kehilangan anak kali yang kedua ini amat perit. Bukan tidak reda, tetapi hanya mereka yang pernah kehilangan orang tersayang akan faham perasaan ini.
Kosmo! semalam melaporkan suami pemandu SUV membuat permohonan maaf kepada keluarga mangsa.
Kontraktor pendawaian elektrik itu menjelaskan isterinya yang berusia 49 tahun kerap berhalusinasi, bercakap seorang diri selain mendengar bisikan selepas menjalani pembedahan membuang kandungan luar rahim pada 2014.
Di Johor Bahru, keluarga arwah Muhammad Akmal Md. Tukiran mengakui mereka masih belum bersedia untuk bertemu keluarga pemandu SUV.
Abang arwah, Muhammad Fahrulradzi, 28, memberitahu, bapanya, Md. Tukirin Saringat, 60, dan ibu, Rafeah Buang, 50, masih lagi bersedih atas kehilangan anak kedua daripada empat beradik tersebut.
“Arwah rapat dengan ayah dan emak, jadi kehilangannya beri kesan kepada mereka. Mereka seperti mencari-cari adik.
“Berilah kami ruang dan masa untuk bertenang, dalam masa terdekat ini kami belum bersedia untuk jumpa mereka,” katanya.
Jelasnya, dia sekeluarga menyerahkan sepenuhnya siasatan kes nahas tersebut kepada polis.
Dalam kejadian pada pukul 7.20 malam itu, tiga pelajar UiTM Dungun maut selepas dua buah motosikal yang mereka tunggang dirempuh dari arah belakang oleh sebuah SUV yang dipandu seorang wanita dipercayai mengalami masalah mental.
Kejadian itu turut menyebabkan seorang lagi pelajar, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, cedera dan masih dirawat di Hospital Dungun.
Pemandu Honda CR-V berusia 49 tahun ditahan reman selama empat hari sejak Khamis lalu. -KOSMO! ONLINE
















