SUNGAI BULOH – Bapa kepada Allahyarham Ku Adib Aizad, menyifatkan doanya di Jeddah untuk melihat jasad anak dikebumikan depan mata akhirnya dimakbulkan.
Ku Azmi Saad berkata, meskipun dia dan isteri , Hafizah Iszahanid hanya bermiqat di Jeddah dan tidak sempat untuk menunaikan umrah, tetapi semua urusan perjalanan balik ke Malaysia dipermudahkan.
“Syukur doa saya nak lihat dia (Ku Adib) depan mata buat kali terakhir sebelum dikebumikan tercapai.
“Semua urusan (pengebumian) hari ini juga berjalan lancar. Walaupun saya kehilangan satu-satunya pewaris (anak lelaki tunggal), tetapi saya reda dengan ketentuan ini,”katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Tanah Perkuburan Radhatul Aliyah Saujana Utama di sini petang tadi.
Bapa kepada empat anak berusia 12 hingga 20 tahun itu berkata, dia menerima perkhabaran sedih menimpa anak sulungnya itu kira-kira pukul 9.13 malam (waktu Jeddah).
“Ketika sampai di Jeddah, WhatsApp bertalu-talu masuk daripada kenalan, ahli keluarga dan pihak UiTM memaklumkan berita menimpa Ku Adib.
“Saya terus memaklumkan kepada agensi umrah dan mereka terus dapatkan tiket pulang ke Malaysia. Tiket kapal terbang paling awal kira-kira pukul 1.55 pagi (waktu Jeddah) dan kami sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tadi pukul 3.33 petang,”katanya.
Mengulas lanjut, Ku Azmi berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya pada hari Jumaat lalu sewaktu menghantarnya pulang ke kampus selepas cuti semester.
“Semasa dalam perjalanan ke Dungun (Jumaat lalu) Ku Adib ada beritahu saya dia tidak mahu menerima Ijazah nanti di atas pentas sebab ramai orang.
“Selain itu, saya juga kehilangan rakan menonton bola dan rakan memancing,”katanya sambil menyifatkan anaknya itu seorang yang suka menolong keluarga dan rakan-rakan.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada pihaknya mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap wanita melanggar anaknya itu, Ku Azmi memberitahu dia akan menunggu hasil siasatan pihak berkuasa terlebih dahulu.
“Bagi saya terpulang pada pihak UiTM dan tunggu hasil siasatan pihak polis terlebih dahulu. Kemudian baru kami fikir apa tindakan susulan.
Terdahulu, jenazah Ku Azmi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Radhatul Aliyah Saujana Utama di sini kira-kira pukul 6 petang selepas dibawa dari rumahnya keluarga di Taman Seri Pristana.
Kosmo! sebelum ini melaporkan tiga pelajar UiTM Dungun maut manakala seorang lagi cedera parah akibat dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV dipandu seorang wanita malam tadi.
Sewaktu kejadian, kesemua mangsa dikenali sebagai Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, Khairil Anwar Jamaludin, 20, Mohd. Akmal Tukirin, 25, dan Mohd. Ammar Danish Mohd. Ridhuan, 20, sedang menaiki dua motosikal jenis Yamaha LC 135 dan Yamaha Y15.
Difahamkan mereka dalam perjalanan pulang ke kampus sebaik makam malam bersama.
Sebaik tiba di pintu hadapan kampus, dua motosikal dinaki kesemua mangsa tiba-tiba dirempuh dari arah belakang oleh kenderaan Honda CRV terbabit.
Rempuhan itu menyebabkan empat pelajar tersebut tercampak manakala kenderaan berkenaan pula terbabas memasuki parit di tepi jalan.
Tiga mangsa iaitu Ku Adib Aizad, Khairil Anwar dan Mohd Akmal meninggal dunia di lokasi kejadian.-KOSMO! ONLINE.