DUNGUN – Seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun tidak menyangka mangsa kemalangan yang dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV malam tadi adalah sahabat baiknya.
Lebih membuatkan Muhammad Hazarul Ashwaq Azhar, 20, pilu apabila salah seorang daripada mereka iaitu Khairil Anwar Jamaludin, 20, merupakan rakan sebiliknya.
Katanya, dia berasa tidak sedap hati selepas empat sahabatnya itu gagal dihubungi sebelum bergegas ke lokasi sebaik dimaklumkan mengenai kemalangan tersebut.
“Sebelum kejadian, Khai (Khairil Anwar) ajak saya keluar makan malam bersama-sama mereka, tetapi saya menolak kerana mahu berehat disebabkan kepenatan menjalani latihan kokurikulum.
“Sebaik tiba di lokasi kemalangan, saya tergamam selepas melihat salah satu mayat yang bergelimpangan adalah Wak (Muhammad Akmal Md. Tukirin) yang saya anggap seperti abang kandung,” katanya ketika ditemui hari ini.
Muhammad Hazarul Ashwaq berkata, hatinya luluh apabila mendapati mayat Khai pula berada di dalam parit.
“Saya kemudiannya diminta untuk mengecam satu lagi mayat yang dikenal pasti sebagai Ku Adib Aizad Ku Azmi yang juga sahabat saya.
“Mangsa yang cedera iaitu Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan juga adalah kawan saya,” kata pemuda itu. – KOSMO! ONLINE