GEORGE TOWN – Takaful Malaysia hari ini melancarkan dua produk baharu menerusi platform digital, Kaotim iaitu Kaotim Car dan Kaotim Motor.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Nor Azman Zainal berkata, dua produk tersebut menawarkan pelan perlindungan dalam talian terbaharu dan komprehensif bagi kenderaan persendirian serta motosikal pada harga yang berpatutan.
Katanya, dengan pelancaran produk baharu ini, pemilik kenderaan dapat mengakses pelan perlindungan secara pantas mengikut keperluan, sekaligus memilih faedah tambahan yang sesuai dengan bajet mereka.
“Pelancaran Kaotim Car dan Kaotim Motor adalah sebahagian daripada langkah strategik Takaful Malaysia untuk mengukuhkan kedudukan dalam bidang insurans dan takaful motor yang telah menunjukkan pertumbuhan positif.
“Strategi ini selaras dengan permintaan dan peningkatan jualan kenderaan di pasaran. Kami berhasrat untuk memperluaskan langkah dengan menawarkan pelbagai pelan perlindungan dalam talian untuk memenuhi keperluan pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Kaotim Car dan Kaotim Motor di Pulau Pinang, hari ini.
Turut hadir pada majlis hari ini, Pengerusi Kumpulan Takaful Malaysia, Datuk Mohammed Hussein, Pengerusi Takaful Malaysia Am (bahagian Takaful Am Takaful Malaysia), Ismail Mahbob dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Am, Mohamed Sabri Ramli. – KOSMO! ONLINE.