fbpx
TANGKAP layar daripada sebuah video menunjukkan upacara pernikahan menggunakan mas kahwin ‘satu pusingan Aurad Muhammadiah’ antara pengikut GISBH sedang dijalankan.

Nikah guna Aurad Muhammadiah haram, tiada nilai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Penggunaan ‘satu pusingan Aurad Muhammadiah’ sebagai mas kahwin atau mahar dihukumkan sebagai haram kerana bukan sahaja bercanggah dengan hukum syarak, malah wirid itu sendiri telah difatwakan terpesong daripada ajaran Islam.

Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman menegaskan, mas kahwin ditakrifkan sebagai apa-apa sahaja yang bermanfaat dan berfaedah serta mempunyai nilai sama
ada berupa wang, barang atau sesuatu yang bermanfaat.

Katanya, berdasarkan takrifan itu, ia jelas menunjukkan penggunaan aurad itu dalam urusan pernikahan untuk dijadikan mahar bagi pengantin perempuan adalah bercanggah dengan hukum syarak.

Katanya, mas kahwin ialah pemberian yang wajib diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan.

“Apabila menyentuh tentang menjadikan Aurad Muhammadiah sebagai mahar atau mas kahwin, maka ia sudah tentu tidak boleh kerana amalan itu sendiri bercanggah dengan hukum syarak dan tidak menepati konsep mahar dalam Islam.

“Ia tidak boleh dijadikan mahar dalam sesuatu perkahwinan bahkan hukumnya adalah haram,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Menurut Mohd. Sukki, mas kahwin adalah pemberian yang wajib diberi kepada isteri dengan sebab perkahwinan.

PENGIKUT GISBH berkumpul di satu lokasi ketika serbuan pihak berkuasa baru-baru ini.

Tambahnya, ayat empat surah An-Nisaa jelas menyatakan bahawa Allah menyuruh hamba-Nya memberikan kepada perempuan itu mas kahwin.

“Nabi SAW pula bersabda: Carilah untuk dijadikan mas kahwin walaupun sebentuk cincin yang diperbuat daripada besi (Riwayat Bukhari),” katanya.
Ujar Mohd. Sukki, mas kahwin tidak dihadkan oleh syarak sama ada banyak atau sedikit.

“Jadi untuk menentukan ba­nyak atau sedikitnya itu terpulanglah kepada dua pihak di atas persetujuannya dan berdasarkan taraf atau darjat pengantin tersebut,” ujarnya.

Namun jelasnya, hukum syarak tidak menggalakkan mas kahwin yang terlalu tinggi yang menyebabkan kesukaran bagi pihak lelaki.

“Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sebaik-baik mas kahwin ialah yang lebih rendah (Riwayat Abu Daud). Sabda baginda dalam hadis yang lain pula: Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya (Riwayat Ahmad),” ­tambahnya.

Untuk rekod, Aurad Muhammadiah yang digunakan secara tidak sah telah diselewengkan oleh pengikut Al-Arqam sebelum diharamkan oleh kerajaan pada 1994.

Baru-baru ini, polis telah menggempur beberapa rumah kebajikan yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) selepas mendapatinya meng­eksploitasi kanak-kanak.

Rentetan daripada itu, beberapa kepincangan dalam GISBH turut didedahkan termasuk upacara pernikahan sesama pengikut yang menggunakan ‘satu pusingan Aurad Muhammadiah’ sebagai mas kahwin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN